SHODIEV (tengah) menanduk bola ke gawang Kuantan FA.
SHODIEV (tengah) menanduk bola ke gawang Kuantan FA.
Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Kehadiran ibu bapanya nyata menyuntik semangat Vokhid Shodiev apabila menjaringkan gol kemenangan Perak ke atas Kuantan FA pada saingan Piala FA di Stadium Perak, malam kelmarin.

Bapanya Mukhitdin Shodiev, 59, dan ibunya Gulsoat Shodieva, 55 yang tiba di Ipoh sehari sebelum perlawanan adalah antara kira-kira 10,000 penonton yang menyaksikan perlawanan pusingan ketiga itu.

Perjalanan beribu kilometer dari Uzbekistan itu nyata berbaloi apabila anak mereka menyumbat gol pada minit ketiga yang juga gol tunggal kemenangan sekali gus membantu Perak ke suku akhir pertandingan kalah mati itu.

“Kehadiran mereka sungguh bermakna dan saya menikmati kegembiraan berganda apabila berjaya menyumbat gol kemenangan pasukan.

“Saya sedar peminat kecewa berikutan persembahan hambar saya sebelum ini. Saya sudah cuba sedaya upaya tapi apakan daya tidak berjaya juga.

“Saya harap ia satu permulaan baik buat saya bersama Perak,” katanya.

Sementara itu jurulatih Syamsul Saad tidak menyembunyikan kekecewaan terhadap persembahan pemain The Bos Gaurus.

“Saya syukur dengan kemenangan ini tapi pada masa sama kecewa dengan sikap pemain. Sepatutnya kami boleh menang lebih besar lagi jika semua peluang disudahkan dengan baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 8:03 AM