Antara pekerja pembinaan yang ditahan. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Antara pekerja pembinaan yang ditahan. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein

Iskandar Puteri: Tiga notis larangan memula dan meneruskan kerja-kerja pembinaan dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Johor ke atas tiga sub kontraktor sebuah projek pembinaan di sini, pagi tadi.

Dalam operasi bersepadu itu, 88 daripada 90 pekerja pembinaan di tapak projek berkenaan yang diperiksa turut dikesan tidak memiliki kad pendaftaran personel binaan.

Pengarah CIDB Wilayah Selatan, Othman Safar berkata, tiga sub kontraktor itu diberikan notis selepas disyaki tidak berdaftar dengan CIDB, manakala 88 pekerja pembinaan itu turut didapati tidak berdaftar sebagai personel binaan.

"Kita turut mengesan satu kes bahan binaan yang tidak diperakukan, sekali gus notis larangan memula dan meneruskan kerja pembinaan dikeluarkan.

"Selain daripada itu, 58 daripada 88 pekerja pembinaan itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Negeri Johor kerana didapati melakukan kesalahan termasuk tidak mempunyai pasport dan menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya pada sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu 2016 di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 2:50 PM