Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengingatkan pengeluar bahan binaan yang belum lagi mendaftar dengan agensi itu berbuat demikian sebelum 1 Januari 2016.

Pendaftaran turut membabitkan kakitangan binaan yang mempunyai kurang dari sembilan bulan atau sebelum 1 Jun 2016 untuk mendaftar dan mendapat pemerakuan kemahiran serta kompentensi daripada CIDB.

Pengurus Besar Kanan Sektor Operasi CIDB Megat Kamil Azmi Megat Rus Kamarani berkata, selepas tempoh berkenaan mereka boleh diambil tindakan mengikut Akta 520 (Pindaan 2011).

“Bagi pengeluar bahan binaan yang gagal mendaftarkan bahan binaan seperti disenarai di dalam Jadual Keempat Akta 520 (Pindaan 2011), mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 33D (1) atau Seksyen 33D (2) (Kewajipan Pendaftaran Bahan Binaan).

“Maka, sesiapa yang berurusan dengan bahan binaan yang tidak diperakukan kualitinya oleh CIDB apabila disabitkan, boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Menurutnya, mengikut Seksyen 33 (Kewajipan Pendaftaran Personel Binaan) semua Personal Binaan yang terbabit dengan aktiviti di tapak pembinaan serta berumur 16 tahun dan ke atas wajib berdaftar dan memegang kad perakuan Pendaftaran Personel Binaan CIDB.

“Sekiranya mereka didapati menjalankan kerja pembinaan tanpa pendaftaran sah dan tanpa diakreditkan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 6:54 AM