Resit sebuah restoran di Bangsar yang menjadi viral baru-baru ini.
Resit sebuah restoran di Bangsar yang menjadi viral baru-baru ini.
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, siasatan yang dibuat mendapati pemilik sebuah restoran di Kuala Lumpur mengaku berlaku kesilapan apabila pekerjanya mengenakan caj RM10 bagi pendingin hawa kepada pelanggan.

Beliau berkata pemilik restoran di Bangsar itu mengenakan caj kepada pelanggan yang menempah bilik makan untuk acara tertentu atau yang inginkan privasi dan caj sudah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pelanggan.

"Sesetengah restoran ada caj seperti itu bagi pelanggan yang menempah bilik untuk acara tertentu dan ia tidak menyalahi peraturan jika dimaklumkan kepada pelanggan.

"Cuma dalam kes ini kita tidak dapat pastikan sama ada pelanggan terbabit makan dalam bilik atau di luar bilik kerana kita tidak dapat berjumpa dengannya," katanya di sini, hari ini.

Isu itu menjadi viral dan dikecam ramai apabila gambar resit bertarikh 15 April tertera caj RM10 disebarkan pelanggan di media sosial.

Sementara itu Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin berkata, restoran mamak berkenaan turut disiasat kerana mengenakan bayaran makanan berlainan daripada harga tertera pada papan tanda harga.

"Contohnya maggie sup pada menu RM6.50, tetapi pengguna kena bayar RM6.90, harga mi hailam RM6.50 tetapi pelanggan bayar RM7.50," katanya.

Beliau berkata restoran itu boleh disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 atau Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana mengenakan caj lebih tinggi daripada harga yang tertera pada menu atau papan harga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:18 PM