SEGELINTIR pengendali penghantaran dan penghantar persendirian mengambil kesempatan atau ‘cekik darah’ dengan mengenakan caj penghantaran tinggi. FOTO Arkib NSTP
SEGELINTIR pengendali penghantaran dan penghantar persendirian mengambil kesempatan atau ‘cekik darah’ dengan mengenakan caj penghantaran tinggi. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

PERMINTAAN terhadap perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan mengalami kenaikan mendadak berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Apa yang mengecewakan ada segelintir pengendali penghantaran dan penghantar persendirian mengambil kesempatan atau 'cekik darah' dengan mengenakan caj penghantaran tinggi.

Berkongsi pengalaman, kakitangan kerajaan yang mahu dikenali sebagai Laila, 33, mendakwa pernah menempah kek berharga RM40 dan caj penghantaran dikenakan RM38.

Menurutnya, dia menempah kek untuk menyambut ulang tahun kelahiran adik iparnya dari sebuah kedai kek di Setia Alam, Selangor menerusi aplikasi WhatsApp.

"Pengusaha kedai menggunakan perkhidmatan penghantaran dalam talian untuk menghantar kek ke rumah saya di Pelabuhan Klang.

"Sebaik penghantar bermotosikal tiba di rumah, saya terkejut apabila perlu membayar caj penghantaran RM38. Barang sudah dihantar, saya tiada pilihan.

"Saya kemudian lihat Google Maps jarak penghantaran kira-kira 27 kilometer. Saya tidak menyalahkan penghantar itu kerana dia hanya jalankan tugas, cuma saya keliru bagaimana pengiraan dibuat oleh syarikat penghantar terbabit," katanya.

Menurutnya, itu pengalaman pertamanya dikenakan caj penghantaran tinggi kerana sebelum ini dia hanya buat tempahan di sekitar kawasan perumahan menggunakan khidmat penghantar persendirian yang mengenakan caj antara RM3 hingga RM5 sahaja.

Bagi Anis Khalidi, 30, berkata, dia menggunakan khidmat penghantar daripada syarikat berdaftar kerana lebih selamat dan segala butiran boleh diakses menerusi aplikasi disediakan.

"Bagaimanapun, saya jarang menggunakannya kerana lebih selesa ke kedai sendiri. Tetapi kenalan saya pernah menempah makanan daripada peniaga yang menggunakan khidmat penghantar persendirian.

"Apa yang mengejutkan kenalan saya itu dikenakan caj penghantaran RM15 sedangkan jarak kedai dan kediamannya kira-kira tujuh kilometer.

"Bagi saya jika penghantar menggunakan kereta, mungkin ada logiknya caj mahal, tetapi dia menunggang motosikal dan kos petrol lebih murah," katanya.

Anis yang mengusahakan perkhidmatan pembersihan sejak tahun lalu berpengalaman membuat penghantaran sendiri dan beliau hanya mengenakan caj RM5 bagi setiap penghantaran.

Menurutnya, caj dikenakan itu memadai untuk menampung kos penghantaran selain tidak mahu membebankan pelanggan.

KHIDMAT penghantar daripada syarikat berdaftar lebih selamat dan segala butiran boleh diakses menerusi aplikasi disediakan.
KHIDMAT penghantar daripada syarikat berdaftar lebih selamat dan segala butiran boleh diakses menerusi aplikasi disediakan.

Selain itu, pelakon popular, Sharnaaz Ahmad menerusi saluran YouTube miliknya juga berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan penghantaran.

Beliau mempersoalkan caj penghantaran yang terlampau tinggi dikenakan dalam radius yang dekat.

"Aku tak salahkan rider, dia orang adalah hero, tetapi aku tak faham management (pihak pengurusan). Hangpa kena beri penjelasan kepada orang yang tengah menggunakan servis hangpa.

"Kami tiada pilihan. Dalam keadaan kita dituntut mengikut peraturan (PKP), tetapi hangpa jangan racuni dengan mengenakan harga menekan," katanya.

Sharnaaz meminta syarikat pengendali memberi penjelasan mengenai keuntungan diperoleh mereka dan bayaran diberikan kepada penghantar yang membahayakan nyawa di atas jalan untuk membuat penghantaran.

Tanda tanya kaedah pengiraan kos penghantaran

Kemunculan lambakan perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan ke rumah atau pejabat dimanfaatkan pelbagai golongan yang mahu mendapatkan keperluan dengan mudah secara dalam talian.

Permintaan yang tinggi seakan-akan kemunculan e-hailing itu membuatkan ramai anak muda mendaftar sebagai penghantar kepada syarikat penyedia perkhidmatan sama ada secara sambilan atau sepenuh masa.

Tambahan pula apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 yang memberi kelonggaran kepada perkhidmatan itu untuk beroperasi seperti biasa.

Dalam waktu 'darurat' ketika ini, ada pengendali dikatakan mengambil kesempatan dengan mengenakan caj penghantaran yang tinggi hingga mencecah RM30 bagi jarak kurang daripada 10 kilometer.

Banyak persoalan bermain di fikiran ramai pengguna mengenai pengiraan kos penghantaran yang nyata berbeza antara satu sama lain sehinggakan menjadi topik hangat dan perbalahan di media sosial sejak kebelakangan ini.

Mengulas isu itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, setakat ini tiada garis panduan daripada kerajaan untuk mengawal dan menetapkan caj maksimum penghantaran.

Beliau berkata, setiap pengendali perkhidmatan itu mengenakan caj penghantaran berbeza mengikut jenis perkhidmatan ditawarkan selain tempoh penghantaran.

"Syarikat penghantaran sepatutnya menawarkan harga kompetitif supaya jadi pilihan kepada peniaga.

"Peniaga yang menggunakan perkhidmatan itu untuk menghantar produk kepada pembeli pula perlu bijak memilih syarikat yang menawarkan harga munasabah atau meletakkan pilihan di tangan pembeli," katanya.

MOHD Yusof. FOTO Mustaffa Kamal
MOHD Yusof. FOTO Mustaffa Kamal

Mohd Yusof berkata, ekosistem perkhidmatan yang terdiri daripada penghantar, peniaga dan pengguna itu tidak boleh memberi keuntungan kepada dua pihak sahaja manakala pengguna tertindas.

Beliau berkata, apa yang berlaku sekarang ini adalah pengguna tiada pilihan apabila mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran dipilih peniaga sedangkan caj penghantaran ditanggung pengguna.

"Kadangkala caj penghantaran lebih mahal daripada harga barangan dibeli pengguna. Namun pengguna tiada pilihan.

"Peniaga sepatutnya beri pilihan kepada pembeli nak guna khidmat penghantaran mana dan mengikut berapa lama tempoh penghantaran itu.

"Ada pengguna yang tidak kisah bayar caj penghantaran tinggi untuk dapat barangan dengan kadar segera, begitu juga sebaliknya. Jika pengguna rasa tidak puas hati sudah tentu akan merugikan peniaga juga," katanya.

Ada 'runner' dibayar hingga RM15 ikut jarak

Jawatan pekerja penghantaran atau lebih dikenali sebagai runner dipandang sebelah mata sebelum ini namun kini ia menjadi pekerjaan penting dan mendapat permintaan tinggi.

Golongan itu sering mendapat perhatian dan penghargaan kerana perkhidmatan diberikan, namun tidak kurang juga yang menyalahkan serta memarahi mereka jika kos penghantaran tinggi.

Namun tidak ramai yang tahu bagaimana golongan itu menerima bayaran daripada setiap penghantaran dilakukan mereka.

Mendedahkan perkara itu, seorang runner yang mahu dikenali sebagai Hafiz, 30, berkata, kebanyakan penghantar memang tidak mengetahui caj penghantaran pelanggan kerana pesanan dibuat pelanggan menerusi aplikasi yang dikendalikan syarikat.

Hafiz yang bekerja sebagai runner selepas terbabit dalam skim pemberhentian pekerja di syarikat lama berkata, dia menerima bayaran antara RM4 hingga RM10 mengikut jarak bagi setiap penghantaran dibuat.

"Jumlah bayaran itu akan dikira oleh pihak syarikat dan bayaran dibuat melalui aplikasi.

"Kebiasaannya saya menerima antara RM4 ke RM5 saja bagi seorang pelanggan walaupun kadangkala kena hantar ke tempat jauh," katanya.

Penghantar makanan yang mahu dikenali sebagai Rudy, 28, berkata, dia bekerja sepenuh masa dan mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

"Komisen bergantung kepada waktu pesanan dibuat dan jarak antara restoran dengan kediaman pelanggan.

"Penghantar akan dapat komisen daripada setiap pesanan dan jumlah waktu bekerja. Syarikat pula difahamkan mendapat keuntungan 30 peratus daripada setiap tempahan," katanya.

Situasi itu berbeza bagi penghantar persendirian yang menerima bayaran terus daripada pelanggan tanpa terikat dengan mana-mana syarikat pengendali.

Golongan ini bukan sekadar menghantar barang, tetapi turut menunaikan apa sahaja permintaan pelanggan termasuk membelikan makanan, barang runcit dan menghantar hadiah.

Muhammad Fawwaz Zulkifli, 28, berkata, dia menggunakan khidmat penghantar persendirian untuk menghantar nasi ambeng kepada pelanggan.

Fawwaz yang membantu ibunya mengusahakan perniagaan itu di Paya Dalam, Melaka, berkata, pelanggan akan dimaklumkan mengenai caj penghantaran sebelum tempahan dibuat supaya tidak berlaku salah faham antara ketiga-tiga pihak.

"Berikutan permintaan tinggi untuk penghantaran ketika musim PKP ini, saya mengambil runner persendirian dan mengenakan caj penghantaran antara RM3 hingga RM15 mengikut jarak.

"Runner saya guna kereta untuk buat penghantaran dan caj itu dibayar kepadanya sepenuhnya.

"Kami tidak ambil komisen daripada caj penghantaran itu. Dalam sehari, dia perlu menghantar lapan hingga 10 tempahan yang mengambil masa sehingga tiga jam," katanya.

Ditanya mengenai rungutan sesetengah individu mengenai penghantar persendirian yang mengenakan caj tinggi, Fawwaz berpandangan ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana penghantar berkorban masa dan risiko untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

Peniaga roti john di Kuala Terengganu, Ahmad Fadil Ideris, 28, turut mengakui menggunakan khidmat penghantar persendirian sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun, katanya, dia akan menanggung kos penghantaran sekiranya pelanggan membuat tempahan yang banyak.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 10:00 AM