MARGOT.
MARGOT.
Georgie Joseph


Sejak filem Suicide Squad ditayangkan, aktres jelita yang memegang watak Harley Quinn ini menjadi perhatian seluruh dunia.

Sekelip mata Margot Robbie, 26, meraih populariti menerusi lakonan berkesannya sebagai perempuan gila.

Masih sibuk dengan rangka promosi Suicide Squad, ramai tertarik dengan sisi peribadi aktres kelahiran Australia itu.

Terbaru, dia mengejutkan peminat apabila terbuka berkongsi amalannya sebelum melelapkan mata.

“Sewaktu penggambaran Whiskey Tango Foxtrot, saya mengeluh tidak sabar mahu pulang ke rumah. Seorang kru kostum berkata, dia pun tidak sabar mahu balik kerana mahu mandi sambil minum alkohol.

“Dia beritahu saya, dengan cara itu dia akan lebih mudah tidur. Selepas mendengar penjelasannya, saya pun merasakan kaedah itu adalah yang terbaik,” katanya.

Margot berkata, amalan itu sangat berkesan untuk dirinya. Sejak mempraktikannya, Margot lebih mudah melelapkan mata dan dapat menghilangkan tekanan.

“Sebelum ini saya susah melelapkan mata dan selalu berasa tertekan. Mujur sudah jumpa kaedah terbaik ini,” katanya.

Selain itu, Margot turut mengamalkan aktiviti sihat seperti membaca novel. Sekiranya apa yang dilakukan itu tidak menjadi, dia akan membaca koleksi novel Harry Porter.

“Saya peminat fanatik Harry Potter. Langsung tak rasa jemu walaupun sudah membacanya lebih 20 kali. Sampai sekarang saya masih membacanya sebelum tidur.

“Ia dapat membantu mengosongkan fikiran saya sebelum tidur,” katanya.

Sebelum membintangi Suicide Squad, Margot sudah menjayakan banyak filem hebat termasuklah Focus, The Wolf of Wall Street, The Legend of Tarzan dan About Time.

Memulakan karier pada 2008, dia aktif menjayakan filem Indie di Australia sebelum mencipta nama di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:01 AM