Oleh Ustaz Haslin Baharin

Adakah kita mendapat pahala jika memberi derma dan sumbangan kepada orang dan pertubuhan kebajikan bukan Islam?

MAN

Puchong, Selangor

Hukum bersedekah kepada yang bukan Islam tetap mendapat pahala. Begitu juga mendapat pahala jika diberi kepada binatang atau makhluk lain selagi ia bertujuan mencari keredaan Allah SWT. Ini sesuai dengan ciri-ciri agama Islam sebagai 'membawa rahmat ke seluruh alam'.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada seorang Muslim pun yang bertani lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala di atas hal itu." (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan Allah), maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan." (Surah al-Baqarah: 272)

Bagaimanapun, perlu diutamakan kepada Muslim yang memerlukan, selain diberi kepada bukan Islam yang tidak menggunakan bantuan itu untuk memusuhi Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:16 AM