GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

BEBERAPA hari lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadan yang penuh dengan kemuliaan dan kerahmatan.

Bagi umat Islam, kedatangan Ramadan amat dialu-alukan dengan harapan kita dapat melalui sepanjang bulan ini dengan penuh keinsafan serta dapat membersihkan diri menjadi manusia bertakwa.

Kita juga hendaklah memanfaatkan bulan Ramadan dengan menyempurnakan amalan ibadat harian yang biasa kita lakukan di samping meningkatkan pelbagai ibadat sunat.

Ibadat itu bukan hanya bersifat ibadat khusus semata-mata, tetapi termasuk perbuatan seharian seperti pertuturan dan hubungan kita dengan masyarakat sekeliling.

Kita hendaklah sentiasa bertolak ansur (tasamuh) dan mengamalkan sifat maaf-memaafkan dengan semua manusia.

Carilah ketenangan dan kedamaian dengan semua orang di sekeliling kita. Alangkah indahnya jika kita dapat menyambut kehadiran Ramadan dengan hati yang luhur dan tanpa rasa kebencian kepada sesiapa pun.

Jangan menyambut Ramadan dengan perasaan benci kepada sesiapa pun dan jangan biarkan sesiapa mempunyai perasaan negatif terhadap kita.

Hentikan sebarang ketegangan dan sentiasa berusaha mewujudkan suasana tenang dan harmoni.

Elakkan sebarang perasaan tidak senang sesama rakan sekerja, jiran, adik-beradik dan rakan taulan.

Mungkin ada peristiwa atau perbuatan mereka yang menyebabkan hati kita terluka, tetapi alangkah mulianya jika kita dapat melupakan, malah memaafkan mereka.

Selesaikan sebarang isu masih wujud yang boleh menghalang proses perdamaian.

Bertolak ansurlah dengan apa-apa isu semata-mata kerana Allah SWT kerana kita hendak meraih tawaran rahmah dan keampunan pada bulan Ramadan ini.

Pastikan kita melakukan dengan hati yang tulus dan ikhlas iaitu tidak mengharapkan sebarang balasan manusia dan serahkan kepada Allah untuk menilainya.

Perkara kebaikan pasti akan diberi ganjaran, apatah lagi ganjaran bulan Ramadan yang tiada tandingannya.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi mereka yang mampu beralah, laksanakanlah. Beralah bukan bermakna kalah, tetapi mampu melawan hawa dan nafsu.

Begitu juga dapat menahan perasaan marah, malah memaafkan kesalahan orang. Semua itu mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya, dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah Asy-Syura, ayat 40)

Manusia dinilai mengikut niat dan tindakannya. Niat yang baik tetap akan dibalas, bagaimanapun niat yang jahat hanya dibalas selepas ia dilakukan.

Apa yang perlu diutamakan dalam bulan Ramadan ialah meraih keredaan dan pengampunan Allah SWT.

Oleh itu, ketepikan perkara remeh, tidak membesarkan perkara yang langsung tidak mendatangkan manfaat.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat (menilai) bentuk tubuhmu dan tidak pula menilai keelokan wajahmu, tetapi Allah melihat (menilai) keikhlasan hatimu dan amal kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 9:27 AM