Ahmad Razif (dua dari kiri) beramah mesra dengan penerima watikah pelantikan jawatankuasa pemandu membanteras dadah, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab (tiga kanan) diperhatikan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Terengganu, A Latiff Awang (kiri) dan penerima lain di majlis Penyampaian Watikah JKPMD. FOTO Aswadi Alias
Ahmad Razif (dua dari kiri) beramah mesra dengan penerima watikah pelantikan jawatankuasa pemandu membanteras dadah, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab (tiga kanan) diperhatikan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Terengganu, A Latiff Awang (kiri) dan penerima lain di majlis Penyampaian Watikah JKPMD. FOTO Aswadi Alias
Ahmad Rabiul Zulkifli dan Nur Ain Musdad

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan menawarkan beberapa lokasi strategik kepada pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik untuk dijadikan Yayasan Penyelidikkan Islam (IRF) Asia Tenggara.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya sudah menyuarakan tawaran berkenaan kepada Dr Zakir dan pendakwah terbabit menunjukkan minat terhadap cadangan itu.

"Kami akan mengadakan perbincangan khas bersama Dr Zakir berkaitan tawaran berkenaan esok.

"Antara tempat yang kami cadangkan ialah di sebuah pulau dekat Tasik Kenyir.

"Ia masih dalam proses perbincangan, namun Dr Zakir dilihat sangat berminat untuk menjayakan hasrat kerajaan negeri bagi menjadikan Terengganu sebagai pusat IRF di Asia Tenggara," katanya selepas majlis Penyampaian Watikah Jawatankuasa Pemandu Membanteras Dadah (JKPMD), di sini, hari ini.

Sementara itu di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, meminta penganjur ceramah pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, menukar tajuk syarahan kepada 'Islam Problems And Solution To The Humanity' ketika mengadakan program itu di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Ahad ini.

Idris berkata, tajuk itu dilihat lebih sesuai dalam merungkai permasalahan kehidupan manusia di dunia masa kini dan Islam sebagai penyelesaian kepada segala permasalahan.

"Kita buat topik yang orang ramai mahu mendengarnya dan mendapat banyak ilmu serta faedah yang membolehkan kemanusiaan itu menjadi lebih baik melalui Islam.

"Saya mahu orang ramai datang beramai-ramai dan dengar apa Dr Zakir sampaikan," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis negeri Datuk Ramli Din berkata, pihaknya sedia menempatkan anggota yang mencukupi pada ceramah Dr Zakir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 7:35 PM