TERTUDUH (tengah) ketika sampai di Mahkamah Sesyen.
TERTUDUH (tengah) ketika sampai di Mahkamah Sesyen.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan dua aset hartanah bernilai lebih RM1 juta milik syarikatnya yang dilakukannya pada 2010 dan 2012.

Tertuduh, Lim Choong Yik, 61, yang juga pengarah Jack-In Pile (M) Sdn Bhd mengaku tidak bersalah atas dua pertudahan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ikmal Hisham Mohd Tajuddin.

Dia didakwa dengan curangnya melepaskan hartanah iaitu parcel no A-23-2 di mukim Hulu Kinta di sini, dengan menandatangani perjanjian jual beli dengan syarikat Hup Lik Holdings Sdn Bhd pada harga RM468,800 yang dilakukan di No 6A Jalan Medan Ipoh 3, bandar Baru Medan Ipoh pada 9 Julai 2012.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa dengan curangnya melepaskan hartanah iaitu parcel no A-23-3 di mukim Hulu Kinta di sini, dengan menandatangani perjanjian jual beli dengan syarikat sama pada harga RM568,800 yang dilakukan di tempat sama pada 25 Mei 2010.

Choong Yik didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ikmal menetapkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 11 Mei ini untuk kes itu disebut semula.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili oleh T Elanggovan dan S Dha Ramanathan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 3:37 PM