MOHAMMAD Anuar (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
MOHAMMAD Anuar (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohammad Anuar Zakaria, 47, didakwa semula di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan menganjurkan perhimpunan haram, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohammad Anuar mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Mohammad Anuar didakwa menganjurkan perhimpunan itu di hadapan pejabat PKR, Jalan Medan Istana pada 7.30 malam, 12 Mei 2013 dan sebagai penganjur ceramah umum, dia didapati gagal memaklumkan perkara itu kepada Ketua Polis Daerah Ipoh 10 hari sebelum program terbabit diadakan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 di bawah akta sama jika sabit kesalahan.

Ikmal Hishan kemudiannya membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 18 November ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Fadhli Ab Wahab manakala Mohammad Anuar diwakili peguam Khairul Anuar Musa, Madhi Hasan dan M Kulasegaran.

Pada 16 Mei 2014, Mahkamah Sesyen, di sini, melepaskan tanpa membebaskan Mohammad Anuar, 49, dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keong Siong, 50, daripada tuduhan menganjurkan perhimpunan awam tanpa notis di tempat dan masa yang sama.

Hakim Rushan Lufti Mohd ketika itu berkata, beliau membuat keputusan itu kerana terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menyatakan syarat notis 10 hari mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai bertentangan dengan Perlembagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 11:06 AM