ANSARUTHEEN bahagia bersama isteri, Barakath Nisha dan tiga anak mereka.
ANSARUTHEEN bahagia bersama isteri, Barakath Nisha dan tiga anak mereka.
ANSARUTHEEN yakin perniagaan makanan bukan semata-mata mencari keuntungan tapi memberi kepuasan pelanggan.
ANSARUTHEEN yakin perniagaan makanan bukan semata-mata mencari keuntungan tapi memberi kepuasan pelanggan.
ANSARUTHEEN berbangga hasil titik peluhnya melebar empayar perniagaan dalam bidang makanan.
ANSARUTHEEN berbangga hasil titik peluhnya melebar empayar perniagaan dalam bidang makanan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Mencuba sesuatu yang baru dan berbeza daripada bidang diceburi sememangnya menuntut kesabaran tinggi apatah lagi bidang itu dilihat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Daripada industri kesihatan kepada industri makanan mungkin dilihat satu cabang yang jauh berbeza dan bukan semua usahawan berani menempuh risiko mencuba bidang baru.

Sementara industri kesihatan yang diceburi sejak lebih lima tahun lalu terus berdiri kukuh, Ansarutheen Mohiadeen, 41, tidak mahu mensia-siakan peluang melebarkan sayap dalam industri makanan dengan menubuhkan restoran Cina Muslim AM Oriental.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini menjelaskan, minatnya dalam industri makanan sudah lama terpendam namun dia terlebih dulu mengukuhkan perniagaan dalam bidang pembekalan peralatan kesihatan.

Malah, syarikatnya antara sebilangan syarikat Bumiputera yang menceburi bidang pembekalan peralatan kesihatan di negara ini yang kebanyakannya dimonopoli kaum lain.

“Saya gemarkan cabaran dan suka mencuba sesuatu yang baru. Pada sesetengah orang mungkin saya patut memberi sepenuh perhatian pada satu bidang, tapi sudah lama saya berniat membuka restoran.

“Alhamdulillah, saya buka restoran ini bukan sekadar trend semata-mata sebaliknya mahu memberi pilihan kepada pelanggan Islam yang menggemari makanan Cina dapat menikmatinya tanpa ragu-ragu,” katanya.

Tidak seperti restoran makanan Cina Muslim lain, Ansarutheen mengetengahkan resipi Cina tempatan yang pasti agak berbeza dengan resipi asal negara China. Ini kerana tidak semua makanan dari negara itu sesuai dengan selera penduduk tempatan apatah lagi masakan Cina yang enak di negara ini tidak dapat dinikmati orang Islam.

Nyata percubaannya membuahkan hasil kerana ramai peminat masakan Cina yang berpuas hati dapat menikmati masakan yang jarang disediakan di restoran lain.

“Ramai masyarakat Melayu sukakan keunikan dan keenakan masakan Cina. Namun, biasanya ia dimasak menggunakan bahan tidak halal. Jika ada restoran yang menyediakan masakan Cina halal, kami agak berbeza kerana masakan di restoran ini diolah mengikut selera tempatan tapi mengekalkan ciri yang sama,” katanya.

Ansarutheen turut memastikan masakan Cina dimasak 100 peratus menggunakan bahan halal dan dari semasa ke semasa premis itu perlu sentiasa bersih. Halal bukan saja daripada sumber makanan semata-mata, ia termasuk aspek kebersihan dan kesihatan.

Oleh itu, dia sendiri turun padang memastikan kualiti masakan yang disediakan selain kebersihan pada tahap terbaik kerana baginya keuntungan bukan faktor utama tapi mesti seiring dengan kepuasan pelanggan dari setiap segi.

Restoran di Jalan Memanda 9, Ampang ini, menyediakan sajian lebih memberi fokus kepada makanan laut yang disediakan menggunakan bahan segar saja.

Menurutnya, mereka tidak menyimpan stok makanan laut bagi mengekalkan kesegarannya dan mengambil bekalan terus dari Tanjung Karang, Selangor.

Antara menu popular di restoran iatu ialah ikan bakar dengan sambal, ketam cili dan udang mentega yang sering menjadi menu wajib pengunjung restoran.

Selain restoran AM Oriental, Ansarutheen baru membuka sebuah lagi restoran berkonsep bistro di Taman Melawati iaitu AM Bistro yang menyediakan aneka hidangan nasi kandar serta masakan Barat.

Menyingkap peribadi figura ini pasti mengagumkan sesiapa saja. Manakan tidak, selain sibuk menguruskan beberapa perniagaan, dia kini mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 11:21 AM