Dalam usaha untuk membantu pengguna mencari premis makanan atau restoran halal, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) memperkenalkan aplikasi halal sulungnya yang boleh dimuat naik daripada App Store dan Play Store.

Pensijilan Halal Kerajaan Pertama Dunia ini adalah modul pertama yang dibangunkan untuk membantu pengguna untuk mengesan dengan tepat premis makanan halal menggunakan teknologi GPS dan Peta Google.

Anda boleh mencari premis makanan, restoran mahupun cafe halal yang disahkan oleh JAKIM dalam radius 15 kilometer dari lokasi semasa anda.

Perisian aplikasi ini juga dilengkapi prestasi sistem pemantauan di mana pengguna boleh menilai kebersihan premis makanan dan restoran.

Dalam modul kedua dan ketiga, pengguna akan mendapatkan akses mudah alih dalam direktori halal dan berita mengenai industri halal tempatan.

Selain itu, pengguna Islam terutamanya dapat memanfaatkan aplikasi ini kerana ia bukan sahaja menyediakan lokasi restoran halal berdekatan anda, malah mendapatkan kesasihan halal yang diiktiraf untuk produk industri kecil sederhana (PKS), multinasional, syarikat, hotel dan resort, program yang dianjurkan, fatwa berkaitan, menyemak e-nombor untuk kod halal serta pihak berkuasa halal di negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 4:50 AM