KIM Swee (dua dari kiri) pada majlis undian perlawanan play-off kelayakan Piala Asia 2019 di Bukit Jalil, semalam.
KIM Swee (dua dari kiri) pada majlis undian perlawanan play-off kelayakan Piala Asia 2019 di Bukit Jalil, semalam.
Aziman Rosdi

Bukit Jalil: Peluang Harimau Malaysia untuk mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 cerah selepas diundi menentang Timor Leste pada aksi play-off pertama yang diadakan secara timbal balik pada 2 dan 7 Jun ini.

Pertemuan itu ibarat perlawanan ulangan selepas kedua-dua pasukan bertemu dalam kempen Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang menyaksikan skuad kebangsaan seri 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum menang 1-0 di Dili tahun lalu.

Memang skuad kebangsaan masih ada peluang beraksi play-off kedua pada September jika terkandas play-off pertama, namun kekalahan kepada Timor Leste pasti sesuatu yang sukar diterima, jika berlaku.

Pengendali kebangsaan Datuk Ong Kim Swee mengakui anak buahnya perlu berwaspada dengan kemampuan Timor Leste dan harus mencari kemenangan selesa menerusi perlawanan pertama di laman sendiri sebelum beraksi di Dili yang bakal berlangsung ketika Ramadan.

“Kita perlu cari keputusan baik pada perlawanan pertama kerana saya jangkakan kesukaran bermain di sana nanti dengan cuaca panas (aksi sebelah petang) dan pemain pula berpuasa ketika itu.

“Bagi saya, kita perlu berikan perhatian bertemu mana-mana pasukan. Walaupun sudah bermain dengan Timor Leste sebelum ini dan kita tahu mereka bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan.

“Walaupun kita menang di tempat lawan tempoh hari, saya percaya dengan adanya pemain naturalisasi mereka, sudah tentu situasi ini memberi saingan sengit,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian play off kelayakan Piala Asia 2019 semalam.

Begitupun Harimau Malaysia boleh menarik nafas lega dengan keputusan undian itu kerana dapat mengelak lawan lebih sukar seperti India dan Yaman.

Anak buah Kim Swee terpaksa mengharungi perlawanan play-off selepas mereka menamatkan kempen Kumpulan A bulan lalu di tangga keempat manakala Timor Leste kelima.

“Setiap pasukan ingin layak lebih awal. Bagi saya ini peluang kedua kita dan saya ingin kita layak lebih cepat kerana boleh menyusun jadual perlawanan bagi persiapan pusingan kelayakan terakhir pada 2017,” katanya.

Menurutnya, pemain akan berkumpul pada 22 Mei selepas perlawanan Liga Super untuk latihan sebelum aksi play-off pada 2 Jun. Mereka juga akan mengharungi satu perlawanan persahabatan dengan lawan akan ditentukan dalam masa terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 8:40 AM