KIM SWEE (dua dari kiri) berbincang strategi dengan pemain.
KIM SWEE (dua dari kiri) berbincang strategi dengan pemain.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Harimau Malaysia mengharapkan tuah gelanggang juara Piala AFC Johor Darul Ta’zim (Johor DT) apabila dijangka menggunakan Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin bagi perlawanan play-off pertama kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste pada 2 Jun ini.

Keputusan untuk ‘berubah angin’ itu bukan sesuatu yang mengejutkan susulan kenyataan Penasihat Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sedia menghulurkan bantuan kepada skuad kebangsaan termasuk dari aspek kemudahan sukan dimiliki kelab Harimau Selatan itu.

Luahan bantuan itu terhasil daripada pertemuan pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee bersama Tunku Ismail serta jurulatih Johor DT Mario Gomez Rabu lalu selepas berlaku sedikit perang mulut antara kedua-dua rakan sejawat itu.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Amin, beberapa perancangan sedang disusun rapi buat persiapan Harimau Malaysia sebelum aksi timbal balik dengan Timor Leste.

“Bagi perlawanan pada 2 Jun ini mungkin kita bermain di Larkin, selain kita juga sedang mengatur perlawanan persahabatan mungkin dengan Oman atau Myanmar pada 28 Mei ini.

“Saya kira pasukan kebangsaan perlu menang kedua-dua perlawanan (dengan Timor Leste) di mana kita akan beraksi di gelanggang sendiri dulu pada 2 Jun dan kemudian 7 Jun di Dili,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum pengampunan sepenuhnya pemain digantung seumur hidup pada 1994-1995 yang diserahkan pemain terbabit.

Pemilihan venue di Larkin bagi aksi antarabangsa itu dianggap tepat kerana mampu menarik sokongan ramai peminat memandangkan sebilangan besar tonggak utama Harimau Malaysia beraksi bersama Johor DT.

Dalam pada itu Hamidin menyatakan skuad kebangsaan perlu segera bangkit untuk memperbaiki ranking selepas mencatat kedudukan terburuk dalam sejarah apabila menduduki tangga ke-174 dunia.

“Kita kena adakan seberapa banyak aksi persahabatan antarabangsa selepas ini. Kita juga perlu pastikan dapat keputusan baik dengan Timor Leste kerana ia memberi mata yang tinggi apabila bermain di pusingan kelayakan,” katanya.

Selain aksi dengan Timor Leste, skuad kendalian Kim Swee juga akan mengadakan perlawanan berstatus A dalam Jelajah Oceania menentang Papua New Guinea (17 Jun), New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 5:35 AM