MOHD Nor Amizi Salleh hadir ke Mahkamah Tinggi Kangar untuk mendengar keputusan perbicaraan kes memiliki senjata api pada Oktober 2014. FOTO Eizairi Shamsudin
MOHD Nor Amizi Salleh hadir ke Mahkamah Tinggi Kangar untuk mendengar keputusan perbicaraan kes memiliki senjata api pada Oktober 2014. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Kangar: Seorang mekanik dikenakan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki peluru hidup dan senjara tiruan di sebuah rumah di Mata Ayer, Padang Besar dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara 14 bulan dan denda RM3,000 yang terhadap Mohd Nor Amizi Salleh, 39.

Beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Majistret terdahulu tidak terkhilaf dalam membuat sabitan salah.

Oleh itu beliau mengekalkan sabitan itu namun meminda tempoh penjara.

Pada 27 Ogos tahun lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nor Amizi selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun pihak pendakwaan tidak berpuas hati dengan hukuman itu dan merayu di Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili Mohd Asrul Affendi Abdul Halim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Nor Amizi didakwa menyimpan 11 butir peluru hidup dan pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki dua senjata tiruan kira-kira jam 12.10 tengah malam, 17 Oktober 2014 di rumahnya di Lot 2279, Jalan Mata Ayer, Kampung Pokok Sena, Mata Ayer, Perlis.

Bagi tuduhan pertama memiliki sub-mesingan, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, manakala bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 dan bagi tuduhan kedua pula, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 2:37 PM