ZAMZURI membaca al-Quran Braille. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
ZAMZURI membaca al-Quran Braille. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
ZAMZURI membaca al-Quran Braille. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
ZAMZURI membaca al-Quran Braille. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Kekurangan guru mengajar al-Quran braille menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran bagi golongan cacat penglihatan.

Naib Yang Dipertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Zamzuri Ghani, 41, berkata, permintaan untuk mempelajari al-Quran daripada golongan itu semakin meningkat tetapi pihaknya masih belum dapat memenuhinya.

"Pertis mempunyai 1,700 ahli di seluruh negara dan ketika ini kita hanya menjalankan kelas belajar al-Quran braille dua kali sebulan.

"Kita hanya dapat mengadakan kelas untuk 70 orang pelajar bagi tiga tahap yang dibahagikan kepada tujuh kelas," katanya ketika ditemui di pejabat bahagian penerbitan Pertis di sini, hari ini.

Zamzuri berkata, tahap pertama ialah asas tulisan braille dan pengenalan huruf arab braille; tahap kedua, asas tajwid dan pertengahan; manakala tahap ketiga ialah talaki iaitu yang sudah mahir untuk khatam al-Quran.

"Sekarang ini cuma ada empat guru yang mengajar 70 pelajar ini dan kalau boleh kita perlukan penambahan tiga hingga empat orang lagi bagi memenuhi permintaan.

"Kelas ini juga sebenarnya bukan saja mendedahkan golongan cacat penglihatan kepada al-Quran tetapi juga membuka peluang pekerjaan untuk menjadi guru," katanya.

Zamzuri juga berharap agar lebih ramai golongan cacat penglihatan dapat mempelajari al-Quran pada masa akan datang seterusnya bercadang untuk menganjurkan Pertandingan Tilawah al-Quran tahun depan.

Naskhah al-Quran Braille ini juga sebenarnya agak sukar diperoleh kerana harganya yang mahal mencecah sehingga RM430 bagi setiap naskhah satu muka surat manakala RM200 bagi naskhah dua muka surat.

Pertis dipertanggungjawabkan untuk menerbitkan naskhah al-Quran itu menerusi lima mesin yang boleh menghasilkan 100 naskhah sebulan sejak 1999.

Pertis juga adalah satu-satunya persatuan di Malaysia yang menghasilkan al-Quran braille dalam bentuk salinan digital.

Persatuan yang ditubuhkan pada 1996 ini juga mendapat pengiktirafan dan kebenaran daripada Bahagian Teks dan Kawalan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bantuan kepada Pertis, termasuk yang berhasrat untuk mewakafkan al-Quran braille, boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam atas nama Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, 14014010086992.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 10:31 PM