GOETZE (kiri) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua Jerman.
GOETZE (kiri) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua Jerman.

Munich: Mario Goetze melupakan musim mengecewakan di bangku simpanan Bayern Munich dengan satu gol sekali gus membantu Jerman membenam Itali 4-1 awal pagi semalam ketika juara dunia itu menebus kekalahan mereka di tangan England.

Goetze, yang menjaringkan gol kemenangan pada final Piala Dunia 2014, meledak gol kedua Jerman menentang Itali di Arena Allianz di Munich selepas Toni Kroos meletakkan tuan rumah di depan.

Pertahanan Jonas Hector dan pemain tengah Arsenal Mesut Ozil menyumbat gol pada babak kedua sebelum pemain gantian Stephan El Shaarawy melengkapkan gol sagu hati Itali pada lewat permainan.

“Secara keseluruhan kami mempersembahkan permainan bijak, bertahan dengan baik begitu juga ketika menyerang,” kata jurulatih Jerman Joachim Loew yang jelas kelihatan lega.

Kemenangan itu, yang pertama buat Jerman ke atas Itali dalam tempoh 21 tahun, meningkatkan keyakinan empat hari selepas kecundang 2-3 kepada England di Berlin.

Goetze meletakkan dirinya dalam pasaran perpindahan dengan persembahan mengagumkan bagi gol ke-50 di peringkat antarabangsa.

Ketika berbaki setahun dalam kontraknya di Bayern, Goetze menimbang untuk berpindah selepas hanya beraksi empat perlawanan dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Pep Guardiola musim ini.

Bagi musim depan, dia dikaitkan dengan Liverpool untuk sekali lagi bermain di bawah kendalian Juergen Klopp atau kembali ke Borussia Dortmund.

“Saya amat gembira,” kata Goetze, yang enggan menyatakan kelab mana akan diwakilinya musim depan.

“Bagi saya amat penting untuk bermain kembali. Saya rindukannya dan berasa hebat kerana jurulatih percaya dengan saya. Ia satu perasaan hebat untuk berada di padang semula.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 11:06 AM