MARIO Goetze.
MARIO Goetze.
DETIK gemilang Goetze ketika menjulang Piala Dunia 2014.
DETIK gemilang Goetze ketika menjulang Piala Dunia 2014.
Agensi

Mario Goetze mencipta sejarah bola sepak Jerman dengan menjaringkan gol kemenangan pada final Piala Dunia, namun wira Brazil 2014 itu gagal mendapat satu pun peluang bermain di Bayern Munich.

Kecederaan pangkal paha menyebabkan Goetze hanya mampu bermain tujuh perlawanan namun sebulan selepas kembali berlatih, dia kembali di bangku simpanan untuk lima perlawanan terakhir Bayern.

Malah dia masih belum dapat bermain seminit pun pada tahun ini.

Jaringan Goetze selepas diturunkan dari bangku simpanan di Stadium Maracana Rio de Janeiro memberikan Jerman kemenangan 1-0 pada masa tambahan ketika menentang Argentina.

Bagaimanpun bagi pemain berusia 23 tahun itu, kejuaraan Piala Dunia hanya satu detik gemilang daripada tiga musim hambar sejak menyertai Bayern daripada kelab musuh ketat mereka Borussia Dortmund pada 2013.

Hanya 25 daripada 66 penampilan liga Goetze sepanjang tiga musim di Munich membabitkan aksi 90 minit.

Pemain tengah menyerang itu sekali lagi menghabiskan 90 minit di bangku simpanan stadium Dortmund, Signal Iduna Park Sabtu lalu ketika Bayern sekadar seri tanpa jaringan dengan bekas kelabnya dalam perlawanan tumpuan musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund Hans-Joachim Watzke berkata beliau ‘agak simpati’ apabila melihat Goetze di bangku simpanan Bayern, namun jurulatih Munich Pep Guardiola dengan mudahnya menegaskan beliau tidak dapat mencari tempat buat wira Jerman di Piala Dunia itu.

“Saya mempunyai tujuh penyerang dan tidak semua boleh bermain. Perkara ini ada kalanya menyukarkan saya,” kata Guardiola ketika ditanya mengapa beliau sering mengetepikan Goetze.

Robert Lewandowski, Thomas Mueller, Douglas Coman, Kingsley Coman, Arjen Robben dan Franck Ribery berada di depan Goezte dalam senarai pilihan Guardiola.

Thiago Alcantara, pemain pilihan Guardiola di bahagian tengah menyerang turut menghabiskan sepanjang perlawanan menentang Dortmund di bangku simpanan apabila jurulatih berkenaan menurunkan Arturo Vidal dan Mueller di belakang penjaring terbanyak Lewandowski, yang menjaringkan 23 gol musim ini.

Kontrak Goetze bakal berakhir pada Jun 2017 dan dengan Guardiola dijangka menyertai Manchester City pada akhir musim ini, pemain tengah itu digesa untuk membincangkan masa depannya di Munich dengan pengganti pengurus berkenan Carlo Ancelotti.

“Dia perlu berbincang dengan Ancelotti dan mendapatkan kepastian mengenai masa depannya,” kata bekas jurulatih Bayern, Ottmar Hitzfeld.

“Dia (Goetze) tidak mempunyai banyak peluang. Pep memutuskan mahu bergantung kepada pemain lain.”

Guardiola bagaimanapun menegaskan sebaliknya.

Beliau enggan terburu-buru menurunkan Goetze yang baru pulih daripada kecederaan sedangkan Bayern masih memburu gelaran Liga Juara-Juara, Piala Jerman dan Bundesliga.

“Saya mempunyai harapan tinggi terhadapnya. Dia seorang pemain hebat, amat profesional yang memikirkan bola sepak 24 jam sehari,” kata pengurus Bayern itu.

“Kami mempunyai baki tiga bulan dan perlukan semua pemain. Mario masih amat penting.”

Dengan baki hanya tiga bulan sebelum Kejuaraan Eropah di Perancis, Goetze masih berada dalam perancangan jurulatih Jerman, Joachim Loew untuk Euro 2016.

“Sesuatu yang normal selepas cuti panjang akibat kecederaan dia tidak mungkin membuat banyak penampilan pada beberapa minggu pertama. Saya memahaminya,” kata Loew menjelang perlawanan persahabatan Jerman dengan England dan Itali akhir bulan ini.

“Mario masih perlukan sedikit masa, namun saya tidak bimbang terhadapnya dalam persediaan menuju kejohanan Eropah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 9:37 AM