ANTARA tudung dan selendang AidaFarrell Collections bagi himpunan musim ini.
ANTARA tudung dan selendang AidaFarrell Collections bagi himpunan musim ini.
ANTARA tudung dan selendang AidaFarrell Collections bagi himpunan musim ini.
ANTARA tudung dan selendang AidaFarrell Collections bagi himpunan musim ini.
TUDUNG dan selendang rekaan sentuhan Zunaidah pentingkan keseimbangan warna dan paduan gaya.
TUDUNG dan selendang rekaan sentuhan Zunaidah pentingkan keseimbangan warna dan paduan gaya.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Padanan warna kontra atau blok warna agak popular di pentas peragaan mahupun dalam kalangan masyarakat sejak tiga ke empat tahun kebelakangan ini.

Kebanyakan pereka, lama dan baru, tidak ketinggalan memeriahkan trend ini dengan menampilkan sekurang-kurangnya dua palet warna pada rekaan masing-masing yang lazimnya terdiri daripada rona terang.

Helaian bercorak atau bercetak tiada dalam kamus sang pereka ketika itu kerana biasanya paduan blok warna terarah kepada rona polos bagi mengelakkan penampilan kelihatan sarat.

Namun, sudah namanya trend, populariti blok warna makin surut saat ini apabila kebanyakan pereka mula beralih kepada padanan tekstur kontra atau blok tekstur dengan limpahan cetakan bermotif.

Ada yang tampak menarik kala digayakan tapi tidak kurang juga kelihatan janggal hinggakan pelik melihat padanan warna yang digayakannya.

Bagaimanapun, bagi pengasas merangkap pereka utama AidaFarrell Collections, Zunaidah Bani, paduan warna kontra khususnya pada helaian selendang dan tudung masih relevan terutama apabila makin ramai Muslimah yang berani mencuba fesyen terkini.

"Ketika ini makin banyak rekaan pakaian yang sarat dengan corak, imej dan warna, justeru saya berasa penggayaan tudung perlu mengimbangi penampilan keseluruhan agar dapat memberikan gaya yang lebih anggun.

"Tudung polos atau blok warna tanpa corak atau perincian tambahan sudah memadai apabila ia dipadankan bersama pakaian sarat dengan cetakan.

"Selain mencipta penampilan lebih kemas dan bukannya 'trashy', keseimbangan itu berupaya membuatkan Muslimah terbabit tampak lebih manis serta bijak bergaya," katanya.

Konsep keseimbangan ini sememangnya menjadi mantra utama dalam setiap rekaannya dan seperti apa dipersembahkan pada himpunan label AidaFarrell Collections ini, Zunaidah hanya bermain dengan citra polos.

Fabrik pilihannya pula terarah kepada sifon, lycra dan kapas yang lebih sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini.

"Lazimnya saya lebih gemarkan fabrik sifon kerana bagi saya, fabrik ini benar-benar melambangkan sisi feminin seseorang wanita.

"Materialnya tidak panas dan ia mudah dijaga. Namun, sesekali ada juga saya gunakan fabrik lain cuma ia lebih kepada rekaan edisi khas untuk busana pengantin atau mengikut permintaan pelanggan," jelasnya.

Melihat ruang perniagaannya di laman sosial Facebook (www.facebook.com/AidaFarrellCollections) dan Instagram (@aidafarrellcollections), pereka berasal dari Lumut, Perak ini gemar berinteraksi dengan pelanggannya.

Jelas Zunaidah, selain keluarga, rakan dan beberapa pembantu yang banyak mendorongnya menghasilkan rekaan, pelanggan juga banyak memberi idea untuknya mencipta sesuatu yang baru.

"Ilham itu datang dalam banyak cara dan saya dapati apa yang ada di sekeliling terutama alam sekitar banyak mempengaruhi rekaan saya.

"Saya suka berinteraksi dengan pelanggan dalam laman sosial kerana dengan cara itu saya tahu apa yang mereka inginkan.

"Pada masa sama, sesi interaksi seperti itu membolehkan saya sentiasa mengikut trend terkini.

"Selepas beralih operasi perniagaan sepenuhnya di rumah, saya kini suka menghabiskan masa lapang membawa anak ke taman bunga bagi mendapatkan inspirasi," katanya.

AidaFarrellCollection sebelum ini beroperasi di The Strand, Kota Damansara, selama dua tahun dengan empat kakitangan membabitkan kerja menjahit, memotong fabrik dan tugasan lain.

Sejak awal tahun ini, AidaFarrell Collections bergerak sepenuhnya dari rumah bagi melicinkan operasi perniagaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:01 AM