PEGAWAI penguatkuasaan trafik memeriksa saman yang tertunggak menggunakan alat Sistem Pembayaran Bergerak Kompaun dalam talian. FOTO Sharul Hafiz Zam
PEGAWAI penguatkuasaan trafik memeriksa saman yang tertunggak menggunakan alat Sistem Pembayaran Bergerak Kompaun dalam talian. FOTO Sharul Hafiz Zam
Norul Awatif Romi


Bukit Kayu Hitam: Tujuh puluh lima saman tertunggak membabitkan pelbagai kesalahan di kalangan warga asing yang masuk ke negara ini menerusi pintu sempadan Bukit Kayu Hitam di sini, dikesan dalam Ops bersepadu Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) fasa pertama bagi tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Zahari Mohamed berkata, operasi secara berkala turut mengaplikasikan penggunaan dua peralatan baru iaitu sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih dan alat pengesan khas nombor pendaftaran kenderaan automatik (ANPR).

"Operasi bersepadu ini dijalankan bersama JSPT Bukit Aman dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dalam usaha memperkenalkan dua peralatan ini yang baru dilancarkan sejak Jun tahun lalu dan memfokuskan warga asing yang mempunyai rekod kesalahan trafik.

"Pada masa sama, ia sebagai peringatan kepada warga asing yang keluar masuk menerusi pintu sempadan di sini (Bukit Kayu Hitam) supaya berwaspada kerana kita sentiasa menambah baik sistem yang digunapakai pihak berkuasa dalam mengenal pasti pesalah trafik di kalangan warga asing khususnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri OSTWA di Kilometer 1.4 Sekatan Jalan Raya Unit Pencegahan Penyeludupan Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menasihati ibu bapa supaya tidak membenarkan anak-anak tidak berlesen menunggang motosikal berikutan statistik terbaru menunjukkan 60 peratus kesalahan di jalan raya membabitkan golongan muda tidak mempunyai lesen motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 6:51 PM