Anggota JPJ memeriksa kenderaan berat dalam sekatan jalan raya.
Anggota JPJ memeriksa kenderaan berat dalam sekatan jalan raya.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menggunakan dua alat berteknologi tinggi bagi mengenal pasti kenderaan dan pemandu yang mempunyai rekod kesalahan trafik dalam usaha mengesan mereka yang liat membayar saman.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, alat berkenaan ialah ‘Mobile Compound Online Payment System’ (MCORP) dan ‘Automated Number Plat Recognition System’ (ANPR).

“Kedua-duanya berfungsi sebagai pengesan rekod kesalahan trafik berdasarkan data pemandu dan kenderaan yang dimasukkan ke dalam sistem berkenaan.

“Penggunaan alat ini mudah kerana saiznya yang kecil seperti telefon pintar membolehkan ia boleh dibawa ke mana saja, sekali gus membolehkan anggota trafik bertugas menyemak rekod pemandu dan kenderaan itu secara terus,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Trafik di Plaza Tol Sungai Besi di sini, semalam.

Ruslan berkata, kedua-dua alat yang dibeli dari Amerika Syarikat (AS) itu terbukti berkesan dalam membantu mengesan pesalah trafik walaupun baru digunakan beberapa bulan lalu.

“MCORP mula digunakan April lalu dan kami memiliki 3,700 alat berkenaan yang dibekalkan kepada anggota polis trafik yang bertugas secara rutin di seluruh negara.

“Manakala ANPR yang berfungsi mengesan nombor kenderaan, ia baru digunakan seminggu lalu. Walaupun penggunaannya masih baru, namun ia mengesan lebih 2,000 kenderaan yang mempunyai rekod kesalahan trafik.

“Malah, penggunaannya boleh diperluaskan kepada fungsi lain termasuk membantu dalam kes jenayah terutama membabitkan kenderaan curi dengan memasukkan rekod berkenaan ke dalam sistem ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk menambah jumlah alat berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Penggunaan MCORP dan ANPR diharap membantu kami menyelesaikan ribuan kes saman tertunggak di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:26 AM