KUALA TERENGGANU: Syed Abdillah Syed Abdullah tidak menyangka hasrat anaknya, Koperal Udara Syed Hassan Rahimi bertukar ke unit Pasukan Khas Udara (PASKAU) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai petanda anaknya akan pergi menghadap Ilahi.

Syed Hassan Rahimi, 34, disahkan meninggal dunia selepas mengikuti jalan lasak sejauh 12 kilometer bagi kursus PASKAU siri 22/15 di Kampung Sungai Lang dan Sungai Kelambu, Selangor semalam.

Anak ketiga daripada lapan beradik itu disahkan menghembuskan nafas terakhir sejurus dirawat di Hospital Banting selepas menyertai latihan itu sejak Januari lalu.

Syed Abdillah, 62, berkata, bulan lalu, arwah menghubunginya dan bercadang untuk pulang sekejap ke kampung pada perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

"Dalam perbualan telefon itu, arwah menyatakan yang dia susah nak berhubung selepas ini kerana sibuk dengan latihan PASKAU.

"Cuma dia ada pesan supaya doakan keselamatannya sehingga tamat latihan pada April ini," katanya ketika ditemui di perkarangan rumahnya di Kampung Seberang Baroh di sini, hari ini.

Syed Abdillah berkata, anaknya yang telah 12 tahun berkhidmat dengan TUDM pernah ditugaskan di Perak dan Labuan, Sabah sebelum dihantar bertugas di Lubnan selama setahun.

Katanya, arwah adalah seorang yang pendiam dan suka menolong orang selain sentiasa bersemangat untuk merasai apa juga cabaran lasak.

"Dia seorang anak yang kuat semangat dan yang mengagumkan saya, apa saja cabaran lasak dia akan cuba harungi. Biarpun kami sekeluarga merasai kehilangannya, namun tetap reda dengan pemergiannya," kata beliau.

Jenazah Allahyarham tiba dengan helikopter dari pangkalan TUDM Subang petang tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Ku Tuan Besar di sini dengan istiadat ketenteraan.

Syed Hassan Rahimi meninggalkan isteri, Suraya Mohd Nor, 29, dan seorang anak, Syed Habib yang berusia tujuh bulan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 11:01 PM