ERRA selesa dengan Awie tapi tak hirau cakap-cakap mahu mereka kembali berkasih.
ERRA selesa dengan Awie tapi tak hirau cakap-cakap mahu mereka kembali berkasih.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Walaupun Erra Fazira, 42, dan Awie, 48, sudah mempunyai kehidupan masing-masing tetapi masih ramai yang mahukan bekas pasangan kekasih ini kembali bersama.

Apatah lagi, sejak kedua-dua mereka berdamai dan terbabit dalam beberapa karya, keserasian antara Erra dan Awie dilihat tidak pernah padam.

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, dia mengakui selepas beberapa kali berlakon dengan hero filem Sembilu itu, dia berasa semakin selesa.

“Kami kawan, jadi keselesaan bekerjasama semula itu sudah ada. Apabila wujud sikap itu, nak buat kerja pun lebih mudah. Tidak dinafikan terlalu banyak permintaan mahukan kami bersama dalam sesuatu projek drama atau filem, tetapi tidak semuanya boleh dilaksanakan. Jika ada kelapangan masa dan kena dengan jiwa, baik saya atau Awie, kami pasti tidak akan menolak,” katanya.

Pada masa sama, Erra juga tidak boleh menutup cakap-cakap orang sekeliling yang sentiasa berharap dia dan Awie dapat bersatu sebagai pasangan kekasih seperti pada awal kemunculannya.

“Setiap kali saya berlakon dengan Awie, ramai suka dan mahu kami bersama semula. Namun, saya tidak sesekali terkesan atau menghiraukan apa yang diperkatakan. Sebagai manusia, saya hanya mengikut aturan yang sudah ditetapkan.

“Macam yang selalu saya katakan, untuk bekerjasama dengan Awie memang tidak ada masalah. Asal saja naskhah itu menarik dan berbaloi untuk dilaksanakan,” katanya.

Sambung Erra, keselesaannya bersama Awie bukan bermakna penghayatan yang diberi sama seperti dulu.

“Kalau nak dapat ‘feel’ macam dulu, memang susah. Orang kata, tak perlu nak suruh ia pasti datang sendiri. Tetapi sekarang, baik saya mahu pun Awie, perasaan itu kami kena cari dan cipta sendiri.

“Sejujurnya, ada ketika susah mahu mendapatkan keserasian itu. Disebabkan itu kami akan berbincang me­ngenai skrip dan babak yang dijayakan sebelum memulakan penggambaran,” katanya.

Kembalikan nostalgia Sembilu

Bagi mengembalikan nostalgia kisah cinta Awie dan Wati dalam filem Sembilu, Erra dan Awie disatukan dalam filem Warna Cinta Impian yang bakal menemui penonton pada 31 Mac ini.

Biarpun sekadar menjadi pelakon pembantu kepada pelakon baru, Erwin Shah Dawson dan Shiqin Kamal, Erra tetap memberikan sepenuh komitmen.

“Apabila diberitahu penampilan saya dan Awie dalam cerita ini mahu mengembalikan semula nostalgia filem Sembilu, saya memang teruja. Namun, saya tidak terus menyatakan persetujuan sebaliknya berbincang dulu dengan Awie. Kalau nak tahu, ada dialog yang kami ubah untuk disesuaikan dengan babak dan jalan cerita,” katanya.

Erra berkata, pembabitannya bersama Awie bukan sekadar strategi pemasaran semata-mata, sebaliknya lebih kepada karya.

“Setiap penerbit pasti ada strategi bagi memastikan karya mereka mendapat sambutan. Jadi, apabila mereka menawarkan saya dan Awie berlakon dalam filem ini, ia disertakan dengan pengisian yang menarik.

“Tidak rasa pun mereka mahu menggunakan populariti kami, sebaliknya lebih kepada melengkapi watak utama filem ini. Sebagai pelakon yang berpengalaman, tidak salah jika menyokong mereka,” katanya.

Selain Erra dan Awie, filem arahan N S Krishna itu turut menampilkan pelakon lain seperti Erwin Shah Dawson, Shiqin Kamal, Fad Bochey, Azlee Khairi dan Nazeera Sardi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 12:26 PM