PENINGKATAN usia menjadikan Awie lebih tenang.
PENINGKATAN usia menjadikan Awie lebih tenang.
Zaara Talita


JIKA dinilai dari segi penampilan dan imej, pasti ramai yang beranggapan bintang rock legenda dan pelakon popular, Datuk Awie adalah seorang yang garang.

Malah, pasti ramai yang takut hendak mendekati Awie atau pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman ini kerana perwatakannya itu.

Dalam masa sama, banyak pihak melabelkan Awie sebagai 'gengster'. Namun, Awie menafikan dia adalah gengster seperti dianggap segelintir pihak.

"Saya bukan gengster. Kalau gengster pasti berkumpulan, saya hanya seorang individu. Sebenarnya saya tak mahu dibuli, itu saja. Saya juga tidak mahu artis itu dibuli. Kalau saya tak mulakan, habis yang lain pun dibuli.

"Dulu ada band yang sering dibuli sehingga dibaling telur ketika membuat persembahan. Dari zaman Boboy dan New Boyz, semua habis kena baling telur. Ini perkara yang tidak sihat dan hanya dilakukan orang tidak bertamadun," katanya.

Bercerita mengenai imejnya, Awie berkata, mungkin cerita yang sering digembar-gemburkan sebelum ini membuatkan segelintir pihak gerun dan dia bukan menakutkan.

"Ramai yang tidak takut dengan saya kerana watak Husin dalam Hantu Kak Limah. Kanak-kanak pun pun tidak takut dan elakkan saya, Jadi, disebabkan itu saya mengambil langkah untuk mula menegur mereka dulu kerana saya faham mungkin ada yang malu dan takut nak tegur," katanya.

Dalam pada itu, Awie yang dulu sinonim dengan watak serius dalam filem Sembilu, Tragedi Oktober dan Maria Mariana mula dikenali sebagai pelakon komedi dalam filem Baik Punya Cilok arahan Datuk Afdlin Shauki pada 2005.

Menurut Awie, bakatnya sebagai pelakon komedi dicungkil Afdlin menerusi filem itu dan Allahyarham Mamat Khalid dalam filem Zombi Kampung Pisang melalui watak Husin.

Watak Husin kemudian diteruskan dalam filem Mamat seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah, Hantu Kak Limah, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, Zombi Kilang Biskut dan Kampung Pisang Muzikal Raya Istimewa.

Awie mengakui watak Husin berjaya menepis imej gengster yang sering disalah anggap segelintir pihak.

"Saya sendiri tak tahu yang saya boleh berlakon watak komedi. Tapi, saya memang suka bergurau dengan kawan-kawan. Ramai yang menyangka saya ini bengis dan garang, tapi sebenarnya tidak pun. Kawan-kawan saya tahu perangai saya.

"Namun, bergurau dengan kawan-kawan tak sama dalam filem. Untuk membawakan watak komedi juga bukan perkara senang kerana bukan mudah nak buat orang ketawa," katanya.

Menurutnya, watak serius lebih mudah dilakonkan berbanding komedi yang memerlukan mimik muka dan gerakan.

"Saya bukan berubah angin, namun sekadar mencuba pelbagaikan watak. Begitu juga dalam persembahan nyanyian, saya akan selitkan elemen komedi untuk berdialog dengan penonton supaya mereka tidak bosan.

"Saya mahu digelar penghibur dan boleh menghiburkan penonton dalam setiap penampilan saya." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 6:55 AM