ERWIN
ERWIN
Norhayati Nordin

Bukanlah perkara asing bagi lelaki matang membicarakan soal cinta dan pasangan hidup. Apatah lagi dalam umur sudah mencecah 27 tahun.

Perasaan malu dan canggung berkongsi kisah cinta tidak timbul, namun ia bergantung pada individu kerana ada yang menganggap perkara itu sangat peribadi.

Pelakon kelahiran Singapura sedang mencipta nama, Erwin Dawson tidak berselindung apabila diajukan mengenai perkara itu.

Bahkan dia sangat terbuka berbicara berkaitan cinta dan pasangan hidup. Tanpa berselindung, pelakon drama Imam Mudaku Romantik itu menegaskan, dia cerewet dan memilih wanita untuk menjadi teman istimewanya.

“Tipulah kalau saya cakap tidak pernah gagal dan kecewa dalam percintaan. Sebagai manusia biasa, saya ada pengalaman itu.

“Agak menyakitkan juga. Cuma keadaan ketika itu mungkin saya masih terlalu muda. Sekarang, saya yakin sudah matang.

“Melihat pada cara golongan muda bercinta mereka terlalu terbuka. Disebabkan itu, untuk mendapatkan calon sesuai tidak mudah.

“Saya mencari dan memerlukan seorang wanita yang boleh dijadikan isteri dan peneman hidup. Kalau boleh biarlah hingga ke akhir hayat,” katanya.

Erwin turut memberikan pandangan, apabila seseorang sudah mendirikan rumah tangga, cinta bukan lagi menjadi perkara utama.

“Hidup bersama memerlukan lebih daripada cinta. Ia harus dipupuk dengan nilai kasih sayang, kepercayaan, saling memahami dan paling penting bagi saya seseorang wanita itu tidak mengongkong pasangan.

“Saya pernah melalui pengalaman bercinta dengan gadis yang mengongkong, termasuk juga dengan sikap saya ada kalanya turut mengongkong.

“Itu kelemahan yang saya belajar. Disebabkan sikap suka mengongkong antara pasangan membuatkan cinta kami tidak panjang. Saya sudah lama buang sikap buruk itu jauh-jauh, tambahan pula sekarang ini saya sudah matang. Mengapa saya harus buat perkara yang saya sendiri tidak suka (mengongkong),” katanya.

Erwin ditemui dalam majlis tayangan Bisik Pada Langit lakonannya bersama Ummi Nazeera menambah, kalau ditanya mengenai gadis impian, dia tidak dapat menjelaskan ciri-ciri dicari dengan terperinci ekoran sikapnya yang terlalu memilih.

Beralih topik Bisik Pada Langit, Erwin yang melakonkan watak Irwan berkata, dia teruja dengan karakter dilakonkan.

“Walaupun Irwan hanya watak pembantu iaitu sahabat kepada Hajar (lakonan Ummi) tetapi karakter itu menarik.

“Ditambah pula, karya Bisik Pada Langit bukan menjurus pada percintaan kekasih sebaliknya kasih sayang ibu bapa dan keluarga.

“Saya berasa sangat berbaloi dapat berlakon dalam karya ini kerana impak diketengahkan sangat mendalam. Karya ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga kerana paparan hubungan kasih sayangnya sangat mendalam,” katanya.

Baru dua tahun membina karier seni di negara ini, Erwin berkata biarpun lakonan dipersembahkan semakin mendapat perhatian, namun dia sering disogok watak sinonim untuk lelaki berwajah ‘jambu’.

“Saya sebenarnya boleh juga melakonkan watak antagonis. Cuma, sejak saya aktif berlakon di Malaysia, kebanyakan watak ditawarkan semuanya lelaki baik. Kalau di Singapura dulu saya sering mendapat watak hitam seperti lelaki gengster yang kejam,” katanya.

Erwin sebelum ini pernah muncul dalam filem Warna Cinta Impian digandingkan dengan pelakon baharu, Shiqin Kamal, Awie dan Erra Fazira.

Sebagai pelakon drama pula, setakat ini Erwin pernah membintangi Bencinta, Isteri Separuh Masa, Anakku Diva dan terbaru, Hajah Heathrow Kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:03 AM