VIDEO propaganda disiarkan Korea Utara.
VIDEO propaganda disiarkan Korea Utara.

Seoul: Korea Utara mendedahkan video propaganda baru semalam bertajuk ‘Last Chance’ (Peluang Terakhir) menunjukkan peluru berpandu nuklear dilancarkan dari kapal selam menghancurkan Washington yang diakhiri dengan bendera Amerika Syarikat (AS) yang terbakar.

Video sepanjang empat minit itu memaparkan sejarah hubungan AS-Korea Selatan dan berakhir dengan urutan dimanipulasi secara digital menunjukkan peluru berpandu membelah awan sebelum membedil jalan di depan Memorial Lincoln di Washington.

Bangunan Capitol AS kemudian dilihat meletup akibat dentuman berkenaan sebelum keterangan muncul di skrin dalam bahasa Korea mengatakan: “Jika imperalis AS berarak walaupun seinci terhadap kami, kami akan terus membedil dengan (senjata) nuklear.”

Video itu diterbitkan di laman web propaganda Pyongyang, DPRK Today dan memaparkan imej dari Perang Korea, penangkapan kapal risikan Pueblo AS pada 1968 serta krisis pertama berhubung program nuklear Korea Utara pada awal 1990-an.

Pyongyang meningkatkan propagandanya sejak beberapa minggu lalu dengan ancaman nuklear hampir setiap hari selain melepaskan peluru berpandu terhadap Korea Selatan kerana berang dengan latihan perang diadakan Seoul dengan AS.

Ancaman berkenaan semakin bersifat peribadi dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un kelmarin menyaksikan latihan persenjataan jarak jauh secara langsung ketika simulasi serangan terhadap kediaman rasmi rakan sejawatannya dari Korea Selatan.

Ketegangan antara kedua-dua negara Korea berkenaan semakin teruk sejak Pyongyang melancarkan ujian nuklear keempatnya, Januari lalu, selain melancarkan roket satelit sebulan kemudian yang rata-rata dianggap menyamarkan ujian peluru berpandu balistik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:04 AM