BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang ditahan berhubung kematian adiknya akibat ditikam dalam pertengkaran di Bandar Country Homes, Rawang, Selasa lalu, didapati berada bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata, suspek hilang pertimbangan kerana pengaruh dadah menyebabkannya tidak sedar akan tindakan yang dilakukan sehingga menikam adiknya menggunakan pisau.

"Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine," katanya yang ditemui pada Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-209 di

Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.

Ali berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 30-an itu jarang pulang ke rumah keluarganya sejak menamatkan zaman persekolahan dan sering bertengkar dengan mangsa yang berusia 26 tahun.

Katanya, motif pembunuhan masih disiasat, namun siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati apabila adiknya menasihatinya supaya menjauhi aktiviti tidak sihat.

Selasa lalu, seorang pemandu lori maut selepas ditikam abangnya di kediamannya di Jalan Desa, Bandar Country Homes.

Kejadian 10.14 malam itu turut disaksikan keluarga mangsa termasuk ibu yang sedang uzur serta dua adik perempuan.

Menurut Ali, suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 10:03 PM