GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Pandu sendiri kenderaan sejauh tiga kilometer ke balai polis selepas diserang lelaki bersenjata di kolam ikan Bandar Country Homes di sini, Isnin lalu.

Tindakan lelaki berusia 47 tahun itu berjaya menyelamatkannya yang kemudian menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.48 petang.

Beliau berkata, mangsa didapati dalam keadaan berlumuran darah ketika datang membuat laporan di Balai Polis Bandar Country Homes.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa berada dalam kereta di lokasi kejadian.

"Mangsa kemudiannya diserang tiga lelaki tidak dikenali menggunakan senjata tajam sebelum mangsa melarikan diri ke balai polis,"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan itu kemudiannya dibantu anggota polis bertugas.

"Mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa disahkan mengalami kecederaan bahagian tangan, belakang badan serta bahu akibat kejadian,"katanya.

Katanya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 7:36 PM