MANGSA yang maut di tempat kejadian.
MANGSA yang maut di tempat kejadian.
Norizuan Shamsuddin


Rawang: Seorang penunggang motosikal maut sejurus berlanggar dengan sebuah lori sebelum ditimpa besi tiang kanopi dibawa kenderaan berat itu.

Dalam kejadian kemalangan jam 6.35 pagi semalam, mangsa, Mohd Salim Kadir, 48, terbabit kemalangan di simpang Jalan Desa Jaya, Country Homes.

Mangsa maut akibat mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala akibat rempuhan itu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Jalan Desa Jaya menghala ke Jalan Desa.

“Sebaik tiba di simpang tiga jalan berkenaan, mangsa yang menaiki motosikal Modenas Kriss cuba membelok ke kanan jalan.

“Bagaimanapun, mangsa berlanggar dengan lori Isuzu yang datang dari jalan utama,” katanya.

Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa parah di bahagian kepala dan mati di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 10:15 AM