HASIL inovasi produk terdahulu mudahkan pengguna.
HASIL inovasi produk terdahulu mudahkan pengguna.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Produk perkakasan rumah pada masa kini bukan hanya dicipta semata-mata untuk memudahkan urusan seharian, namun ia juga mengalami pelbagai peringkat inovasi dengan memberikan penekanan kepada aspek pintar, mesra alam serta melengkapi gaya hidup.

Peneraju pelbagai perkakasan elektrik dan elektronik rumah, LG Electronics (LG) menerusi pameran LG Innofest Asia 2016 yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini memperkenalkan barisan produk premium terbarunya yang diberi nama LG Signature.

Produk berkenaan merangkumi peti ais, televisyen, mesin basuh dan alat penapis udara yang sebahagian daripadanya hasil inovasi daripada produk terdahulu, disuntik dengan elemen lebih canggih yang lebih memudahkan penggunanya.

LG OLED TV

Produk ini adalah tumpuan utama sepanjang pameran berkenaan yang saiz skrinnya yang nipis iaitu hanya 2.57 milimeter atau setebal empat keping kad kredit sememangnya menarik perhatian ramai.

Televisyen yang mempunyai skrin diod pemancar cahaya organik (OLED) ini dilengkapi dengan teknologi paparan HDR dan resolusi tinggi 4K seterusnya memaparkan gambar yang cukup sempurna.

Dengan saiz skrinnya selebar 77 inci dan panel OLEDnya yang ultra-nipis, pengguna boleh merasai pengalaman seolah-olah menonton di dalam pawagam kerana ia direka secara unik dengan ciri ‘gambar di atas kaca’ bagi memaksimumkan kepuasan penonton.

Produk itu menyampaikan revolusi teknologi yang memberikan gambar lebih memuaskan malah ia juga berupaya menghasilkan warna hitam dan warna lain yang sempurna.

MESIN BASUH

Produk yang didatangkan dengan reka bentuk unik ini adalah versi terbaru hasil inovasi produk terdahulu iaitu LG TWIN Wash yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Mesin basuh jenis muatan depan direka supaya tahan lebih lama, mudah dan canggih dengan mempunyai pencuci pakaian mini diletakkan di bawah unit utama mesin basuh berkenaan.

Ini bermakna pengguna boleh mencuci pakaian dengan lebih banyak menggunakan dua ‘mode’ penyucian yang berbeza.

Menekankan ciri mesra pengguna, pintunya boleh dibuka dengan hanya satu tolakan ringan dan memudahkan pengguna membukanya walaupun dengan tangan yang penuh.

Lapisan enamel pada luarannya membuatkan kelihatan canggih serta kalis cap jari seterusnya menjadikannya lebih anggun serta kelihatan baru walaupun dalam tempoh lama.

Lebih mengagumkan, ia turut dilengkapi dengan sistem khas yang dapat meningkatkan lagi daya ketahanan dan menjimatkan penggunaan tenaga selain meminimumkan bunyi bising dan getaran tab ketika proses pencucian.

PETI SEJUK

Menggunakan reka bentuk yang pernah memenangi anugerah menerusi rekaan Door-in-Door sebelum ini, produk terbaru ini dilengkapi dengan ciri Knock-On yang membolehkan pengguna melihat kandungan di dalam peti sejuk berkenaan dengan hanya mengetuk permukaannya saja.

Pengguna dapat melihat barangan di dalam peti sejuk itu menerusi permukaan kaca yang berbentuk segi empat tepat tanpa perlu membuka pintunya.

Secara tidak langsung ia dapat menjimatkan tenaga dalam kapasiti yang besar dan dapat menghadkan kehilangan udara sejuk sehingga 41 peratus.

Selain itu, bagi pengguna yang mementingkan akses yang cepat dan mudah, ciri pembukaan pintu secara automatik dapat memudahkan pengguna membuka pintu berkenaan tanpa perlu menariknya kerana ia dilengkapi sensor di bahagian bawah pintu yang akan terbuka dengan sendiri apabila dihampiri.

Ia juga mempunyai LG Inverter Linear Compressor yang dapat menyesuaikan suhu dalam peti sejuk berdasarkan jumlah barangan yang ada serta mengurangkan kesan geseran di dalamnya.

Ditawarkan jaminan selama 10 tahun, peti sejuk itu mampu bertahan sehingga 20 tahun berdasarkan kajian daripada sebuah persatuan saintifik dan teknikal dari Jerman.

PENAPIS UDARA

Dilengkapi ciri ‘Aqua-Cyclone’, penapis udara ini menggunakan kuasa air untuk menapis udara tercemar dan bahan kimia berbahaya serta menjadi persekitaran lebih bersih dengan tahap kelembapan yang selesa.

Pengguna boleh melihat kualiti udara dengan hanya melihat kepada panel paparan penunjuk pintarnya yang mana ia mampu mengesan molekul habuk sekecil satu mikrometer dan juga bau.

Penunjuk pintar itu akan memaparkan empat warna berbeza bergantung kepada tahap kebersihan udara dan pengguna boleh menggunakan panduan berkenaan untuk melakukan proses permbersihan udara.

Pengguna tidak perlu khuatir mengenai daya ketahanannya kerana sistem penapisannya mampu bertahan sehingga 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 10:09 AM