Ketua Pegawai Eksekutif LG Asia Pasifik, Chris Yi pada pameran LG Innofest 2016 di Seoul, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif LG Asia Pasifik, Chris Yi pada pameran LG Innofest 2016 di Seoul, semalam.
Daripada Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz di Seoul dan Korea

LG Electronics Malaysia (LG), peneraju pelbagai perkakasan elektrik dan elektronik rumah yakin produknya akan terus mendapat tempat di hati pengguna di negara ini meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Pengarah Urusannya David Oh berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada strategi mereka yang sentiasa memberi penekanan terhadap keinginan dan keperluan pengguna dalam menghasilkan sesuatu produk.

Katanya, pihaknya sentiasa mencipta inovasi dalam setiap pengeluaran produk bagi memastikan ia memenuhi citarasa pengguna seiring dengan peredaran zaman yang semakin canggih.

“Walaupun nilai ringgit menyusut dan pasaran global pula perlahan namun keadaan itu tidak meninggalkan kesan kepada kita.

“LG bukan bersaing dari segi harga tetapi kita mengenalpasti apa keperluan pengguna seterusnya membangunkan inovasi produk serta melakukan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pameran LG Innofest 2016, di sini, semalam.

Dalam pameran itu, LG memperkenalkan barisan produk premium terbarunya yang diberi nama LG Signature merangkumi televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan penapis udara.

Pameran itu memberi peluang kira-kira 300 pengedar di rantau ini untuk merasai dan melihat sendiri produk inovasi terkini LG.

Oh berkata, produk baru itu bakal meletakkan LG ke satu tahap yang lebih tinggi seterusnya menjadikan ia jenama perkakasan elektrik dan elektronik nombor satu di Malaysia.

“Kami komited untuk membangunkan produk inovatif dan aktiviti pemasaran yang akan mengukuhkan kedudukan LG sebagai jenama premium yang paling dinamik.

“Justeru, kami percaya pengguna akan berpuas hati dengan produk ini kerana ia dihasilkan dengan menekankan aspek penjimatan lebih tenaga, ‘menghilangkan’ fungsi yang tidak diperlukan selain rekaan yang lebih moden dan canggih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 8:03 PM