PILIH alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) juga membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman. FOTO Ihsan TNB.
PILIH alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) juga membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman. FOTO Ihsan TNB.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesyorkan pemilik kediaman menggunakan elektrik secara berhemah dengan mengamalkan penjimatan tenaga itu sepanjang tempoh peningkatan titik panas dan jerebu berikutan cuaca kering ketika ini.

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, penggunaan elektrik kemungkinan meningkat akibat cuaca panas selain pengguna berada dalam musim perayaan Aidilfitri.

"Pengguna digalakkan mengamalkan langkah penjimatan elektrik mudah antaranya tutup penyaman udara, kipas dan lampu dalam bilik kosong selain tutup suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai menggunakannya.

"Ketika cuaca panas terik, tutupkan tingkap dengan langsir tebal supaya haba tidak masuk, tidak meninggalkan barangan elektrik di dalam mod sedia serta menggunakan lampu mentol diod pemancar cahaya (LED) yang tahan lebih lama serta lebih jimat tenaga.

"Pengguna juga boleh menggosok pakaian dalam jumlah banyak pada satu masa serta menggunakan alat elektrik berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST)," katanya.

Bagi penjimatan di bilik tidur pada waktu malam, pengguna perlu menghidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara.

"Tetapkan masa untuk pendingin hawa ditutup bagi menjimatkan penggunaan elektrik selain kerap menyelenggara pendingin hawa bagi membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum.

"Selain itu, pengguna juga perlu membersihkan penapis supaya udara sejuk dapat keluar dengan lebih lancar.

"Untuk panduan di bilik mandi, elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan serta mandi air sejuk tanpa menggunakan pemanas air supaya badan akan terasa lebih segar," katanya.

Menurut TNB, pengguna juga perlu mengelak meletakkan peti sejuk di tempat panas seperti terdedah kepada pancaran terus cahaya matahari atau berhampiran dengan dapur memasak.

"Susunkan barang dalam peti sejuk dengan sekurang-kurangnya dua pertiga kapasiti ruangan peti sejuk untuk membiarkan ruang pengedaran udara sejuk.

"Penggunaan ketuhar gelombang mikro yang menggunakan tenaga rendah boleh menjimatkan tenaga elektrik sebanyak 10 hingga 25 peratus.

"Tekan suis air panas hanya apabila ingin digunakan dan tutup selepas selesai digunakan serta elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan.

"Bagi mesin basuh pula, kumpul dan basuh pakaian dengan muatan penuh kerana penggunaan elektrik adalah sama antara muatan penuh atau separuh.

"Selain itu, pengguna disarankan menjemur pakaian dengan sinaran matahari berbanding menggunakan mesin pengering selepas mencuci pakaian," katanya.

TNB berkata, pengguna juga digalakkan memanfaatkan perkhidmatan meter pintar sekiranya sudah siap dipasang sama ada dengan myTNB portal (www.mytnb.com.my) atau aplikasi myTNB bagi memantau penggunaan elektrik secara langsung.

Orang ramai boleh melayari www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 1:30 PM