Singapura: Insiden sepakan penalti di penghujung permainan yang menjadi pemusnah kepada harapan Singapura untuk layak ke separuh akhir Piala AFF menjadi bahan pertikaian pasukan juara bertahan itu.

Bagi kapten Shahril Ishak (gambar), keputusan pengadil dari Oman Ahmed Abu Bakar Said Al Kaf yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia pada minit ke-90 aksi terakhir Kumpulan B kelmarin ternyata merentap semangat mereka.

“Tidak ada apa yang boleh dilakukan apabila pengadil sudah membuat keputusan, anda sendiri boleh lihat insiden itu. Keputusan itu memang memberi kesan kepada permainan,” kata pemain tengah itu.

Insiden kontroversi berlaku pada lewat permainan apabila Ahmed Abu Bakar memberikan sepakan penalti selepas pemain pasukan tuan rumah Shakir Hamzah didakwa menolak Mohd Amri Yahyah yang melompat untuk menanduk hantaran Mohamad Zubir Azmi di depan pintu gol.

Kekasaran itu berjaya dikesan penjaga garisan yang mengangkat bendera sekali gus membuatkan hampir 40,000 penyokong di Stadium Nasional, Kallang terdiam kerana kedudukan ketika itu seri 1-1 dan Singapura dalam kedudukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.

Namun kapten Harimau Malaya Safiq Rahim mudah menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-92 sebelum penyerang gantian Indra Putra Mahayuddin menyudahkan serangan pantas dua minit kemudian untuk menjadikan keputusan 3-1.

Sebelum itu juara bertahan Singapura berjaya bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-82 selepas Mohd Safee Sali membuka tirai jaringan untuk Harimau Malaya di minit ke-60.

“Kami mempamerkan semangat juang tinggi, walaupun ketinggalan satu gol kami terus berusaha untuk menyamakan kedudukan. Perlawanan ini menarik jika bukan kerana pengadil,” kata Shahril yang sudah tiga kali menjulang Piala AFF.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:03 AM