Singapura: Singapura tidak mahu mengambil risiko dengan hanya mencari keputusan seri menentang Malaysia pada perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional, Kallang hari ini.

Menurut pengendali skuad Singa itu, Bernd Stange, 66, mereka tidak akan memperjudikan nasib dengan hanya memburu satu mata pada perlawanan itu untuk mengiringi Thailand ke separuh akhir kerana bimbang Myanmar membuat kejutan saat akhir.

“Kami juga perlu menang kerana tidak tahu kedudukan Myanmar yang akan bermain menentang Thailand esok (hari ini).

“Kami tidak boleh membuat kesilapan dan perlu fokus kepada Malaysia,” kata jurulatih Jerman itu pada sidang media semalam.

Singapura juara terbanyak Piala AFF sebanyak empat kali termasuk memenangi edisi terakhir 2012 kini menduduki tangga kedua dengan tiga mata di belakang Thailand yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir hasil dua kemenangan berturut-turut.

Keputusan seri sudah memadai untuk membawa mereka ke pusingan seterusnya dengan mengambil kira Myanmar yang mengumpul satu mata bersama Malaysia akan tewas kepada pasukan pilihan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:08 AM