POHON Harapan. FOTO Salhani Ibrahim
POHON Harapan. FOTO Salhani Ibrahim
Aniza Zainudin


RIMBUNAN daun pokok kusta atau saintifiknya, Hydnocarpus yang diperbuat daripada 2,200 helaian muka surat novel memaparkan lukisan potret menzahirkan luahan hati bekas pesakit kusta.

Potret lukisan tangan itu menggambarkan ribuan bekas pesakit kusta menetap di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang kini hanya dihuni 136 pesakit.

Ketua Penolong Pe­ngarah Kanan PKKN, Dr Radhiah Mustafar berkata, karya seni dipanggil Pohon Harapan ini menceritakan harapan pesakit kusta bermula dengan pokok Hydnocarpus.

“Sebelum tahun 40-an dan penemuan antibiotik bagi penyakit kusta atau Hansen, buah pokok Hydnocarpus digunakan sebagai rawatan.

“Biji buah kusta ini dimasak sehingga menghasilkan minyak sebelum minyak itu disuntik kepada pesakit.

“Karya Pohon Harapan ini dilukis sendiri bekas pesakit kusta bagi meluah­kan perasaan mereka kepada masyarakat luar.

ENGGAN dilupakan. FOTO Salhani Ibrahim
ENGGAN dilupakan. FOTO Salhani Ibrahim

“Potret ini dilukis pada helaian muka surat novel yang lama dan kusam sebagai simbolik mengatakan bekas pesakit ini umpama novel lama yang tidak disentuh serta dibiarkan luput jika masyarakat mengabaikan kewujudan mereka.

“Selain itu, kami turut mempamerkan artifak dari galeri PKKN seperti papan rekod pesakit.

“Dulu, setiap pesakit diberikan papan rekod bagi memudahkan mereka untuk memegangnya berbanding kertas kerana selalunya pesakit ini mengalami kecacatan di bahagian jari,” katanya di Balai Seni Negara, baru-baru ini.

Pameran Seni HOPE Cerita Dari Lembah Harapan ini dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, PKKN, Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Sungai Buloh Settlement Council dan VernaDoc.

Ia menyajikan 300 karya seni yang dihasilkan 55 pelukis, tidak termasuk Pohon Harapan.

ANTARA lukisan dihasilkan bekas pesakit. FOTO Salhani Ibrahim
ANTARA lukisan dihasilkan bekas pesakit. FOTO Salhani Ibrahim

Selain karya Pohon Seni, pameran ini turut mengetengahkan hasil tangan fluid art yang menggunakan medium minyak dan kertas lukis dihiasi elemen tambahan seperti bunga.

Terdapat juga lukisan warna air yang dihasilkan secara unik dengan meng­gunakan ranting pokok kusta.

Menurut Dr Radhiah, karya Nagomi Pastel Art pula dicoretkan bekas pesakit kusta hanya meng­gunakan jari mereka. Selain itu, karya arca turut dipamerkan.

Harapan Dr Radhiah, pameran ini dapat memberi maklumat tepat mengenai pesakit kusta yang menjadi stigma dalam kalangan masyarakat.

Katanya, PKKN bakal diwartakan sebagai warisan negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan kini dalam proses pencalonan untuk Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

PAPAN rekod bekas pesakit kusta. FOTO Salhani Ibrahim
PAPAN rekod bekas pesakit kusta. FOTO Salhani Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 10:19 AM