ASFAN bakal bawa versi terbaru lagu Alasan Untuk Bahagia.
ASFAN bakal bawa versi terbaru lagu Alasan Untuk Bahagia.
FORTEEN teruja buat persembahan malam ini.
FORTEEN teruja buat persembahan malam ini.
Syafil Syazwan Jefri


Selepas menghiburkan lebih 3,000 pengunjung dalam Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di pekarangan Stadium Darulaman, Alor Setar pada 5 Mac lalu, hari ini bermula jam 8 malam Dataran Tanjung Emas di Muar, Johor pula akan digegarkan dengan konsert berkenaan menerusi persembahan daripada Amelina, Forteen, Indah Ruhaila, Sandra dan Asfan.

Kumpulan Forteen yang dianggotai Izzue Islam yang juga pelakon terkenal bersama One, Amir dan Ariz bakal mempersembahlan single terbaru mereka berjudul Dekat Tapi Jauh.

Selain itu, Asfan yang popular dengan lagu Alasan Untuk Bahagia nyata teruja dengan persembahan malam ini.

Asfan akan menyampaikan versi remix terbaru lagu Alasan Untuk Bahagia hasil kerjasama dengan band Kamasastra.

Menurut Asfan, versi baru itu memiliki kelainan apabila ia diadun dengan muzik hip hop.

Selain konsert, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan bermula jam 4 petang ini di lokasi sama. Antaranya gerai pameran dan jualan barangan eksklusif Harian Metro dan gerai jualan produk terbaru Yeo’s.

Selain itu, turut diadakan ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, gerai fotografi Harian Metro, gerai buih gergasi dan permainan kereta kawalan jauh.

Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt, Ahmad @ Salim Bachok berkata, pihaknya menjangkakan sambutan menggalakkan untuk acara pada hari ini.

“Saya menjangkakan sehingga 10,000 pengunjung akan membanjiri Dataran Tanjung Emas dan bersama-sama meraikan siri jelajah ini.

“Bukan sahaja sesuai untuk remaja, acara ini juga sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga memandangkan ada aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna dan sebagainya,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya mengambil peluang musim cuti sekolah ini untuk bersama-sama menarik minat pengunjung.

Selain berhibur dengan persembahan artis, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

Antara hadiah menarik yang disediakan khas untuk pengunjung adalah TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima buah Air Cooler.

Bagi menyertai cabutan bertuah itu, pengunjung hanya perlu membeli barangan daripada Yeo’s. Pembelian itu juga membolehkan pengunjung berada di ruang hadapan pentas atau ‘rock zone’ sepanjang konsert berlangsung.

Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt turut dijayakan bersama rakan penaja seperti Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:20 AM