FORTEEN
FORTEEN
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Tiga hari lagi, Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor akan dihangatkan dengan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt.

Barisan artis yang bakal membuat persembahan juga nampaknya sudah bersiap sedia untuk bertemu dan menghiburkan peminat mereka di selatan tanah air.

Antara artis yang terbabit dengan konsert kali ini adalah Forteen, Indah Ruhaila, Sandra, Amelina dan Asfan.

Anggota kumpulan Forteen, One memaklumkan, mereka tidak sabar mempersembahkan single terbaru berjudul Dekat Tapi Jauh.

“Dekat Tapi Jauh buah tangan terbaru kami dan ini adalah kali kedua Forteen mendendangkannya secara langsung.

“Jika peminat ingin menonton persembahan kami secara eksklusif, datanglah beramai-ramai ke Dataran Tanjung Emas, Muar pada Sabtu ini,” kata One mewakili Forteen.

Selain single terbaru, Forteen yang menjadi kegilaan remaja itu juga akan tampil dengan satu lagi lagu popular yang pasti buat penonton turut menyanyi bersama mereka.

Bagi Asfan yang popular dengan lagu Alasan Untuk Bahagia pula, dia teruja dapat beraksi di Muar.

“Lama rasanya tidak membuat persembahan di sana, lebih-lebih lagi dalam konsert seumpama ini.

“Dalam konsert pada Sabtu ini, saya akan mempersembahkan lagu Alasan Untuk Bahagia 2016 versi remix.

“Untuk versi baru ini, saya berkolaborasi dengan band di bawah label saya, Kamasastra dan susunan muziknya juga diadun dengan elemen hip hop. Jadi, ada sedikit kelainan berbanding versi asal,” katanya.

Selain Alasan Untuk Bahagia, Asfan akan menyanyikan single terbarunya, Semua Tentang Kita.

“Walaupun lagu baru, saya yakin ramai tahu melodinya kerana ia terpilih sebagai runut bunyi drama bersiri Akulah Balqis yang popular di TV3 sebelum ini,” katanya lagi.

Ratu dangdut Malaysia, Amelina juga tidak melepaskan peluang muncul di pentas Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Muar.

Hampir 15 tahun tidak membuat persembahan di daerah itu, Amelina yakin masih ramai peminat menantikan kehadirannya.

“Saya akan menghiburkan peminat di Muar dengan lagu popular saya antaranya Asyik dan Rindu.

“Kadang-kadang, jika terlalu teruja di atas pentas saya akan menyampaikan lebih daripada dua lagu. Itu semua bergantung kepada reaksi peminat,” katanya.

Selain berhibur, pengunjung berpeluang memenangi hadiah lumayan acara cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima Air Cooler.

Program ini turut dijayakan bersama rakan penaja iaitu Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 12:14 PM