ASFAN tidak sabar buat persembahan di Muar  bersama kumpulan Forteen.
ASFAN tidak sabar buat persembahan di Muar bersama kumpulan Forteen.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Memilih Dataran Tanjung Emas, Muar sebagai lokasi kedua, Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt menampilkan nama besar dalam industri muzik tanah air antaranya, kumpulan Forteen dan Asfan.

Bagi penyanyi, Asfan, dia nyata teruja sekali gus tidak sabar untuk tampil menghiburkan peminatnya di selatan tanah air itu.

“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan di Muar. Salah satu sebabnya kerana saya akan persembahkan lagu baru, Semua Tentang Kita.

Pada masa sama, saya juga sudah lama tidak membuat persembahan di Muar. Kali terakhir, saya menghiburkan peminat di sana dua tahun lalu. Tahun lalu, saya ke sana bersama siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian tetapi tidak terbabit dalam segmen persembahan,” katanya.

Selain Semua Tentang Kita yang juga menjadi lagu runut bunyi untuk drama Akulah Balqis, Asfan juga akan muncul dengan single popularnya, Alasan Untuk Bahagia yang diberi nafas baru.

“Kalau sebelum ini, lagu ini bernada balada, kali ini Alasan Untuk Bahagia disusun semula dalam versi remix dan menampilkan band baru, Kamasastra. Jadi, peminat dapat mendengar versi baru ini dan ada kelainan daripada versi terdahulu,” katanya.

Selain Asfan, Forteen yang menjadi kegilaan peminat remaja juga akan turut serta membuat persembahan.

Menurut seorang anggotanya, One, mereka akan tampil dengan single terbaru yang diberi judul Dekat Tapi Jauh.

“Ini kali kedua kami membuat persembahan secara langsung untuk lagu ini. Jadi, boleh dikatakan eksklusif dan masih ‘panas’ lagi,” katanya.

Tambahnya lagi, selain Dekat Tapi Jauh, Forteen juga akan tampil dengan satu lagi lagu popular mereka yang masih dirahsiakan.

“Apa yang boleh kami janjikan, lagu itu memang sesuai untuk membuat penonton bersama-sama menyanyikannya bersama kami nanti.

“Jadi, kalau nak tahu lagu apa yang akan kami sampaikan, anda perlu datang beramai-ramai ke Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Dataran Tanjung Emas pada Sabtu ini,” katanya.

Tambah One, siri jelajah seperti itu akan memberi peluang kepada mereka untuk mendekati peminat dari luar Lembah Klang.

“Siri jelajah sebegini memang aktiviti yang menyeronokkan bagi kami. Lama rasanya Forteen tidak ke Muar, jadi apabila diundang untuk terbabit dalam konsert anjuran akhbar Harian Metro, kami tidak menolak,” katanya.

Selain Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang akan berlangsung pada 19 Mac bermula jam 9 malam, pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan pada sebelah petangnya.

Sesi bertemu peminat pula akan berlangsung pada 18 Mac bertempat di TF Value Mart Muar bermula pada jam 8 pagi hingga 9 malam.

Siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro dan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro turut dijayakan bersama rakan penaja, termasuk Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 12:04 PM