Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 6.60 sen seunit dan Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG Pendidikan (7.10 sen seunit), ASG Kesihatan (7.20 sen seunit) dan ASG Persaraan (7.05 sen seunit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, prestasi ASM dan ketiga-tiga tabung ASG pada tahun ini adalah masih baik dan kompetitif meskipun situasi ekonomi dan pelaburan semasa agak mencabar.

"Keadaan pasaran dijangka terus dipengaruhi oleh persekitaran global dalam jangka masa pendek dan sederhana berikutan pertumbuhan tidak setara ekonomoi global dan perbezaan kadar faedah antara negara ekonomi utama dan membangun yang akan mempengaruhi aliran pelaburan dana antarabangsa," katanya pada majlis pengumuman agihan tabung terbabit di sini, sebentar tadi.

Kesemua urus niaga bagi tabung ASM dan ketiga-tiga ASG di ibu pejabat ASNB, pejabat ASNB dan ejen ASNB sudah ditangguhkan mulai 22 Mac hingga 31 Mac 2015 bagi tujuan pengiraan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan masing-masing di pejabat atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 April 2015 apabila urus niaga dibuka seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 3:56 PM