myMetro

Singapura: Qatar Airways yang diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia 2015 oleh Skytrax Awards, kini dalam proses mempatenkan semua produk terbaharunya bagi menangani pelanggaran hak cipta.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Akbar AlBaker berkata, langkah berkenaan wajar bagi memastikan syarikat penerbangan itu memperoleh hak harta intelek (IP) selepas beberapa produk dan perkhidmatannya ditiru oleh syarikat penerbangan lain.

“Kami akan menempatkan produk baharu di semua pesawat kami bagi memastikan syarikat penerbangan lain tidak akan dapat menirunya dan kami memutuskan untuk mendapatkan IP bagi tujuan itu.

“Ia akan dilancarkan pada akhir tahun di semua pesawat kami yang berkapasiti lebar,” katanya ketika ditemui semasa Pertunjukan Udara Singapura 2016 di Changi Exhibition Centre.

Akbar menegaskan meskipun pesaingnya cuba mengekori rapat, pihaknya yakin dengan penampilan produk baharu di kabin pesawat termasuk pemilikan hak cipta intelek akan memastikan Qatar Airways sentiasa di depan.

“Kami tidak hanya mengembangkan produk baharu, tetapi memperoleh hak milik individu untuk produk. Kami mempatenkan rekabentuk dan produk kami sehingga tidak ada penerbangan lain dapat menirunya tanpa kebenaran dari Qatar Airways,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 7:09 AM