PENYELAMAT bertafakur berhampiran mayat pesawat terhempas.
PENYELAMAT bertafakur berhampiran mayat pesawat terhempas.
WARIS mangsa kemalangan tidak dapat menahan pilu selepas penyelam mengeluarkan mayat dari Sungai Keelung semalam.
WARIS mangsa kemalangan tidak dapat menahan pilu selepas penyelam mengeluarkan mayat dari Sungai Keelung semalam.
AFP

Taipei: Juruterbang syarikat TransAsia Airways dipercayai ‘berjuang’ hingga ke saat terakhir untuk menyelamatkan pesawat malang itu berdasarkan keadaan mayatnya yang masih memegang alat kawalan di dalam kokpit.

Menurut sumber, juruterbang pesawat udara ATR 72-600 itu ditemui dengan kedua-dua tangannya masih memegang erat alat kemudi, manakala kakinya patah.

“Liao Chien-tsung berusaha mengawal pesawat udara berkenaan sehingga ia menjunam ke dalam Sungai Keelung,” katanya.

Rabu lalu, kapal terbang berkenaan mengalami kemalangan hanya beberapa minit sesudah berlepas dari Lapangan Terbang Songshan di Taipei.

Ia kemudian menempuh laluan di celah bangunan sebelum sebahagian sayapnya terkena sebuah teksi serta struktur jambatan.

Ia akhirnya terhempas di Sungai Keelung.

Daripada 58 penumpang dan kru berada dalam pesawat udara itu, hanya 15 orang terselamat.

Pelbagai pihak memuji keberanian Liao mengemudi pesawat udara itu sehingga ia dapat meminimumkan kematian serta kerosakan.

Pemimpin dan rakyat Taiwan juga memberi penghormatan tinggi kepada Liao, manakala akhbar utama negara itu menyiarkan laporan mengenainya di halaman depan.

Sementara itu, Pengarah Pentadbiran Aeronautik Awam, Lin Tyh-ming berkata, ia adalah kemalangan kedua membabitkan syarikat penerbangan sama.

“Kami mengenakan sekatan permohonan laluan baru selama setahun ke atas TransAsia Airways,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:19 AM