TAJURI menunjukkan proses awal membuat keris.
TAJURI menunjukkan proses awal membuat keris.
SEBAHAGIAN keris pelbagai saiz hasil kerja tangan Tajuri.
SEBAHAGIAN keris pelbagai saiz hasil kerja tangan Tajuri.
TAJURI meneliti keris miliknya.
TAJURI meneliti keris miliknya.
Mohd Amin Jalil


Tanpa mengikuti mana-mana kursus atau bengkel membuat keris tidak menghalang Tajuri Mohamed Sidry, 41, menghasilkan senjata tradisional itu dengan kualiti tinggi.

Pengalaman membuat parang dan pisau secara sambilan lebih enam tahun lalu digunakan sebaik mungkin untuk beralih arah kepada pembuatan keris kerana dirasakan lebih sesuai dengan jiwanya.

Berlandaskan minat terhadap keris, Tajuri mempelajari cara membuat keris yang baik dengan beberapa pembuat keris tempatan.

Dia sanggup menjelajah ke beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang dan Perak bagi mendapatkan kemahiran dan pengalaman dengan pembuat keris tempatan.

“Baru tiga tahun saya berkecimpung sebagai pembuat keris dan nyata ia lebih memberi kepuasan berbanding membuat parang atau pisau.

“Bagaimanapun, membuat keris lebih sukar kerana ia menggabungkan pelbagai jenis besi malah kadangkala untuk menghasilkan sebilah keris yang baik, memerlukan sehingga lapan jenis besi.

“Ia juga memerlukan kemahiran khusus untuk menghasilkan keris yang baik dan berkualiti. Sebab itu tidak ramai pembuat parang berupaya menghasilkan keris,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Si Rusa Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pencinta keris berasal dari Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh, Kelantan itu berkata, dia puas biarpun menghasilkan sebilah keris yang lengkap dengan sarungnya mengambil masa lama yang ada sehingga lebih sebulan bergantung kepada saiz.

Menurutnya, untuk menyiapkan sebilah keris bersaiz antara 0.2 meter hingga 0.5 meter panjang, memerlukan antara satu hingga tiga kilogram besi.

Katanya, kebiasaannya bekalan besi diperoleh dari Kelantan dengan sebilah keris pula akan dibuat menggunakan campuran besi berjumlah ganjil sama seperti jumlah lekuk atau luk keris.

“Membuat dan menghasilkan keris yang bermutu tinggi memerlukan ketelitian selain penghayatan jiwa. Ia tidak boleh bersikap hendak cepat siap kerana kesenian dan kehalusan pada keris itu nanti tidak akan dapat dicapai.

“Sememangnya proses kerjanya memerlukan kesabaran yang tinggi, oleh itu tidak ramai yang sanggup melakukannya.

“Keris adalah warisan budaya Melayu yang perlu dikembang dan dipertahankan,” katanya.

Tajuri berkata dia menerima tempahan dari pelbagai kategori peminat keris di seluruh negara.

Keris buatannya yang lengkap hulu dan sarungnya dijual pada harga antara RM700 hingga RM5,000.

Tajuri yang juga guru Pertubuhan Seni Silat Harimau Puteh Tunggal Negeri Sembilan (PSHPTNS) mendapat sokongan padu daripada isterinya, Faizah Shukur, 29.

Dia cenderung membuat Keris Sepokal Luk 13 dan Keris Anak Alang, yang sering digunakan pertubuhan persilatan dari Indonesia selain turut menerima tempahan keris jenis berkenaan dari kalangan peminat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 1:03 PM