GAMBAR hiasan, dua jet Sukhoi SU-35.
GAMBAR hiasan, dua jet Sukhoi SU-35.
Agensi

Jakarta: Kerajaan Indonesia bakal menandatangani kontrak pembelian 10 jet pejuang Sukhoi SU-35 bulan depan di Russia bagi menggantikan skuadron F-5 Tiger tentera udara negara itu, kata Menteri Pertahanan Ryamizard Ryacudu.

“Kami memerlukan satu skuadron jet pejuang, tetapi untuk fasa pertama kami membeli 10 jet,” katanya.

Ryamizard dijangka menghadiri mesyuarat pegawai tinggi Asean-Russia ke-13 pada 4 dan 5 April ini di Moscow.

Kontrak pembelian itu dijadual ditandatangani dalam satu acara sampingan mesyuarat berkenaan.

Sukhoi mengenepikan saingan utama seperti Eurofighter yang digunakan oleh tentera Sepanyol, Jerman, Britain dan Itali serta syarikat Gripen dari Sweden untuk mendapatkan kontrak berkenaan.

Sejak tiga tahun lalu, Indonesia meningkatkan perbelanjaan pertahanan dalam usaha memodenkan aset pertahanannya yang sudah berusia.

Skuadron 16 jet F5 Tiger milik tentera udara Indonesia itu mula berkhidmat pada 1980.

“Sangat menyedihkan sekiranya perkhidmatan jet ini diteruskan,” kata Ryamizard. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 5:14 AM