KARAKTER Miss SHOPhia yang bergaya dijadikan ikon membeli-belah yang cukup kreatif.
KARAKTER Miss SHOPhia yang bergaya dijadikan ikon membeli-belah yang cukup kreatif.
MAS Ermieyati (tengah) meletakkan beg beli-belah sebagai gimik pelancaran Jualan Nasional Malaysia 2016.
MAS Ermieyati (tengah) meletakkan beg beli-belah sebagai gimik pelancaran Jualan Nasional Malaysia 2016.
Oleh Suliati Asri


Karnival Beli-Belah Ekstravaganza Malaysia 2016 membuka tirainya Selasa lalu menerusi pelancaran tiga kempen jualan tahunan negara yang sememangnya dinanti-nantikan.

Dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, tiga jualan tahunan itu ialah Jualan Awal Tahun 1Malaysia (1 hingga 31 Mac) menggantikan Jualan Grand Prix 1Malaysia, Karnival Jualan Mega 1Malaysia (15 Jun hingga 31 Ogos) dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia (1 November hingga 31 Disember).

Menggunakan slogan baru ‘Jualan hebat pengalaman menakjubkan’, ketiga-tiga jualan ini bertujuan memikat rakyat Malaysia dan pelancong membeli-belah, menjamu selera dan bersantai pada waktu terbaik pada tahun ini.

Mas Ermieyati berkata, membeli-belah adalah sektor penting industri pelancongan negara.

Dengan adanya karnival ini, katanya, ia menjadi waktu puncak untuk orang ramai menikmati tawaran istimewa dan diskaun besar-besaran, kejutan dan kempen tebusan di kedai dan kompleks beli-belah terpilih selain menyertai pelbagai aktiviti menarik.

Sempena pelancaran Jualan Nasional Malaysia 2016, acara mencari harta karun menerusi program Tourism Malaysia Shopping Hunt 2016 yang disertai wakil media, kompleks beli-belah, persatuan peruncit, Kelab Rekreasi Tourism Malaysia dan peserta Mega Fam diadakan, sekali gus memeriahkan majlis itu.

Tourism Malaysia Shopping Hunt 2016 juga menjadi platform untuk memperkenal dan mempromosikan lokasi beli-belah utama di ibu negara yang menjadi destinasi beli-belah utama di Asia.

Peserta dilepaskan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang sebelum ke beberapa laluan dan kawasan beli-belah utama di ibu negara seperti Bukit Bintang, pusat bandar raya, Jalan Hang Kasturi, Jalan Putra dan Jalan Tuanku Abdul Rahman menggunakan pengangkutan awam.

Mereka juga pergi ke kompleks beli-belah, kafe dan hotel untuk menyelesaikan tugasan sebelum berakhir di NU Sentral.

Miss SHOPhia ikon beli-belah Malaysia

Bagi menyemarakkan Jualan Tahunan Malaysia, Tourism Malaysia memperkenalkan Miss SHOPhia sebagai ikon beli-belah di Malaysia.

Mesra dipanggil Sho‘fi‘ah atau Shop‘ia, Miss SHOPhia digambarkan sebagai seorang yang pakar dan serba boleh dalam dunia fesyen, reka bentuk dan makanan.

Miss SHOPhia ini juga mencerminkan wanita muda anggun yang tidak lupa asal usul kerana masih menghargai budaya dan berpengetahuan luas mengenai kraftangan Malaysia.

Tourism Malaysia menerusi Sekretariat Shopping Malaysia akan mempromosikan Miss SHOPhia sebagai teman membeli-belah yang akan berkongsi panduan membeli-belah serta maklumat terkini mengenai fesyen, tawaran menarik dan cara untuk menikmati pengalaman membeli-belah terbaik di Malaysia.

Miss SHOPhia juga ditampilkan dalam kempen promosi beli-belah di luar negara bagi menarik minat pelancong mengunjungi Malaysia dan merasai pengalaman membeli-belah di seluruh negara.

Penampilan Miss SHOPhia akan berubah berdasarkan peranan dan personaliti ditampilkan mengikut komuniti Malaysia yang majmuk serta pasaran global berlainan.

Sebagai contoh, dia akan mengenakan kebaya pada Aidilfitri, cheongsam untuk Tahun Baru Cina, sari pada Deepavali dan kostum Santarina ketika Krismas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 11:29 AM