Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Prestasi pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar) melonjak dengan mendadak sejak Disember, namun juara Seluruh England 2003 Muhammad Hafiz Hashim mahu pemain itu membuktikan sesuatu yang lebih meyakinkan dengan muncul juara sekurang-kurangnya Grand Prix (GP) atau GP Emas.

Menurut Hafiz, sekarang ini prestasi pemain kelahiran Johor itu memang dianggap meningkat, begitu juga kedudukan ranking dunia dan hanya satu lagi halangan yang harus dipecahkan - muncul juara.

“Kita tidak mahu dia menang dan terus menang tapi tumpas di perlawanan akhir. Kita mahu dia menang sehingga sampai ke kemuncak dengan muncul juara. Jika dia berjaya muncul juara baru kita nampak tahapnya, sekurang-kurang di kejohanan bertaraf GP atau GP Emas,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, sudah pasti semua peminat mahu Iskandar mengekalkan prestasi seperti sekarang namun lebih bagus jika graf pencapaiannya sentiasa menaik.

“Dia mempunyai corak permainan agresif dan dalam masa sama sentiasa bekerja keras. Nasihat saya Iskandar harus berdisiplin kerana dia pemain kedua terbaik perseorangan lelaki selepas Datuk Lee Chong Wei.

“Iskandar perlu merapatkan jurang dengan Chong Wei supaya selepas ini tidak akan ada pihak mempertikaikan pemilihannya ke kejohanan utama seperti Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” kata Hafiz.

Katanya, jika tidak dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016, Iskandar perlu mencuba mendapat slot di Olimpik Jepun 2020 kerana ketika itu Chong Wei sudah bersara dari arena badminton.

“Saya rasa dia perlu fokus kejohanan yang disertai selepas ini. BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sudah pasti menyediakan banyak kejohanan untuknya. Kalau boleh tahun ini dia perlu merangkul empat atau lima kejuaraan bertaraf GP atau GP Emas,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga pemain badminton Indonesia, Rian Sukmawan yang meninggal dunia Sabtu lalu akibat serangan jantung ketika beraksi dalam perlawanan pertunjukan di Semarang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 9:03 AM