Oleh Ferzalfie Fauzi


Georgetown: Datuk Lee Chong Wei memuji semangat dan peningkatan yang dipamerkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin selepas dia berjaya muncul juara Grand Prix Emas Masters Malaysia di Arena SPICE semalam.

Walaupun menang straight set 21-18, 21-11 ke atas Iskandar, tetapi Chong Wei mula sedar ‘adiknya’ itu semakin mendapat keyakinan dan tidak lagi bermain seperti rentak terdahulu.

“Hari ini (semalam) kita boleh tengok Iskandar mempamerkan semangat melawan yang tinggi. Ini disebabkan dia terpaksa menempuh laluan sukar dari pusingan awal hingga ke perlawanan akhir,” katanya.

Bagaimanapun, Chong Wei memberi nasihat kepada Iskandar supaya mengekalkan semangat melawan dan jangan lupa diri apabila sudah mula meningkat.

“Baru dia sedar apa yang jurulatih berikan dan memaksanya dalam latihan memberikan pulangan. Sekarang dia sudah semakin meningkat tapi dia tidak boleh fikir sudah cukup bagus, sebaliknya kekalkan semangat sedia ada.

“Apabila pulang semula ke Stadium Juara, Bukit Kiara sudah tentu ada yang akan berkata dia sudah cukup bagus, saya mahu dia lupakan apa yang orang cakap. Saya rasa dia boleh dengar nasihat saya ini dan harap mampu memberikan aksi terbaik di GP Emas Terbuka India minggu depan,” kata Chong Wei yang sebelum ini pernah muncul juara Masters Malaysia pada 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengakui Iskandar amat yakin dan beraksi luar biasa pada perlawanan akhir semalam, kerana tidak menyerah kalah di set pertama serta kedua.

“Permainan dia sudah berubah, apabila sudah memperoleh semangat dan mendapat rentak saya harap dia berhenti di situ saja. Sebelum ini jika anda lihat dia mudah berputus asa, sekarang dia sabar dan semakin ghairah,” kata Chong Wei.

Sementara itu, Iskandar mengakui melalui pengalaman menarik pada Masters Malaysia kali ini, apabila dapat membuktikan kemampuannya melalui keputusan yang dicatat dan mendapat keyakinan sejak pusingan pertama lagi.

“Ketika lawan Son Wan Ho (Korea Selatan) saya dapat membuat kejutan, jadi bermula dari situ keyakinan saya semakin tinggi. Saya pun tidak mahu mendapat terlalu banyak pujian atau tekanan tapi saya mahu semua memberikan sokongan.

“Saya harap dapat jadi pemain ranking tertinggi untuk Malaysia. Sekarang saya nampak jalan (masa depan) dengan lebih jelas, dulu ia masih samar. Saya banyak diberikan peluang oleh Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen.”

Hari ini Iskandar akan berlepas ke India untuk beraksi pada Terbuka India dan akan bertemu pemain tuan rumah, RMV Gurusaidut pada pusingan pertama Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:02 AM