Oleh Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Peningkatan jumlah jualan unit hartanah dan penurunan jumlah projek yang dilancarkan pada separuh kedua tahun lalu adalah trend yang memberangsangkan walaupun jangkaan industri akan sedikit perlahan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Andaman Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata, pertumbuhan itu membuktikan permintaan sentiasa wujud menjadikan unit hartanah kediaman terus menjadi pilihan pembeli utama dalam tempoh terbabit.

Menurutnya, walaupun kurang projek baharu pada separuh kedua 2015, ia memberi laluan kepada bekalan unit-unit hartanah yang sebelum ini tidak terjual, meraih kembali perhatian orang ramai.

Katanya, situasi berkenaan sedikit sebanyak dapat memberikan pasaran hartanah untuk kembali pulih dengan peningkatan pembelian dan jualan daripada orang ramai serta pihak pemaju.

“Permintaan bagi unit kediaman sentiasa ada dalam kalangan rakyat negara ini terutama mereka yang sudah berkeluarga, jadi trend peningkatan bagi jualan adalah perkara yang baik kepada industri,” katanya di sini, semalam.

Berdasarkan Kaji Selidik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), industri hartanah tempatan kekal mencabar, namun sedikit positif dengan 5,195 unit hartanah dijual berbanding 4,371 unit direkodkan pada separuh pertama.

Menurut kaji selidik itu lagi, pada separuh pertama tahun ini sebanyak 15,505 unit kediaman akan dilancarkan merangkumi 8,126 unit kediaman jenis strata, 6,921 unit (kediaman bertanah) dan baki 458 unit lagi (komersial).

Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor ketika membentangkan kaji selidik itu berkata, pretasi jualan separuh tahun kedua 2015 juga jauh lebih baik berbanding 2,951 unit yang dijual pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Antara pilihan pembeli bagi jenis hartanah yang berada dalam pasaran adalah meliputi apartmen dan kondominium, rumah dua tingkat dan rumah setingkat yang menduduki permintaan paling tinggi.

Sementara itu, syarat ketat dan penolakan pinjaman oleh institusi perbankan kepada peminjam juga dilihat sebagai langkah yang tepat untuk memastikan pembeli bersungguh-sunguh dalam menjalankan transaksi pembelian selain mengikut kemampuan masing-masing.

Vincent berkata, walaupun perkara berkenaan dianggap sebagai kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh pembeli, namun ia dapat dijadikan sebagai kaedah untuk memastikan pembeli betul-betul berkemampuan.

Menurutnya, ia bukan bermakna untuk menidakkan hak orang ramai sebagai pembeli tetapi ia adalah usaha untuk memastikan tidak timbul masalah lain kepada pembeli pada masa akan datang.

“Permintaan sentiasa ada dan projek perumahan juga kini banyak yang sedang dibangunkan pada tahun ini. Apa yang penting, pembelian perlulah mengikut kemampuan untuk membayar komitmen bulanan,” katanya.

Berdasarkan Kaji Selidik REHDA, pembiayaan akhir dan penolakan pinjaman menjadi faktor utama industri hartanah tempatan menjadi sedikit perlahan. Selain itu, pada separuh kedua 2015, kadar penolakan pinjaman bank naik kepada 68 peratus berbanding 52 peratus pada separuh pertama tahun yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 7:39 AM