AFP

Lahore, Pakistan: Seorang lelaki menembak mati anak perempuannya berusia 18 tahun dalam kejadian yang digelar ‘pembunuhan demi maruah’ selepas remaja itu gagal memberitahunya ke mana dia pergi selama lima jam.

Kejadian berlaku sehari selepas pengarah filem Pakistan memenangi anugerah Oscar untuk filem dokumentari mengenai pembunuhan seumpama itu yang banyak berlaku di negara terbabit.

Menurut polis, Mohammad Rehmat kini sedang diburu selepas membunuh Komal Bibi, semalam.

Menurut undang-undang Pakistan, lelaki yang membunuh saudara wanita boleh terlepas hukuman jika ‘diampunkan’ keluarga mangsa dan Perdana Menteri Nawaz Sharif berikrar menghapuskan ‘pembunuhan demi maruah’ itu.

Dalam perkembangan lain, sebuah mahkamah di sini, menjatuhkan hukuman mati terhadap dua beradik lelaki kerana membunuh adik perempuan serta adik ipar mereka pada 2009 berikutan pasangan itu berkahwin tanpa kebenaran keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 7:44 PM