Karachi: Dua remaja Pakistan mengaku membunuh ibu dan dua adik tiri mereka atas alasan menjaga maruah keluarga.

Menurut polis, kedua-dua beradik itu menyerang ibu mereka, Sughra, 50, dan adik perempuan mereka, Amma dan Muqqada yang berusia belasan tahun, semalam.

Mereka menuduh mangsa terbabit dalam pelacuran.

Pembunuhan dilakukan di rumah keluarga itu di Lahore, ketika mangsa tidur.

Kedua-dua beradik berkenaan mengaku mengelar leher mangsa dalam usaha untuk ‘mengembalikan maruah’ keluarga.

Mereka mengesyaki adik tiri mereka terbabit dalam pelacuran dan membunuh ibu mereka kerana ‘menyokong’ kedua-dua mangsa.

“Kami tidak menyesal kerana melakukan pembunuhan itu kerana mahu menjaga maruah keluarga,” kata seorang daripada mereka kepada akhbar The Express Tribune.

Mayat ketiga-tiga mangsa di bawa ke Hospital Jinnah, tempat pakar forensik mengesahkan mereka mati akibat dikelar di leher.

Kejadian berlaku beberapa hari selepas sepasang suami isteri dibunuh di sebuah kilang bata di selatan Lahore, kerana menghina kitab suci al-Quran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:05 AM